Wednesday, 25 November 2015

Aku dan Jantung





Segala apa yang Allah ciptakan untuk manusia, menjadi bahan untuk kita berfikir. Jantung atau disebut Qalb di dalam Bahasa arab adalah merupakan makhluk Allah yang sentiasa mengikut perintah dan aturan yang Allah tetapkan sehinggalah ke suatu masa yang ditetapkan. Semua makhluk Allah yang berada di langit dan di bumi semuanya taat dan akur dengan ketentuan Allah. Semuanya bersujud kepada Allah kecuali manusia dan jin yang diberi pilihan untuk memilih.

Jantung menjadi bahan untuk kita berfikir sesuai dengan perintah Allah yang menyuruh manusia untuk melihat dan berfikir ke dalam diri masing-masing.

Allah dengan sifat rahmatNya yang Maha Luas mengkehendaki supaya anggota tubuh manusia akur dengan kehendak Ilahi. Walau siapa pun mereka, mukmin atau kafir, yang menyerah diri kepada Allah atau pun yang ingkar, Allah dengan sifat penyantunNya, mahu melihat alam ini berjalan dengan ketentuanNya.

Perut akan lapar, jika tidak makan makanan, dan tekak akan kehausan andainya tidak minum air. Dada manusia akan kesesakan nafas apabila tiada oksigen kurniaan ilahi.

Jantung manusia terus berdenyut dengan rahmat Ilahi walaupun manusia menentang Allah.

Bertasbihlah Segala Yang Di Langit Dan Di Bumi



Lihatlah perjalanan darah manusia, yang mengalir membawa oksigen dan zat makanan yang ringkas di dalam salur nadi dari jantung ke tisu dalam proses pembakaran untuk tenaga kehidupan.



Perjalanannya mematuhi peraturan yang telah diprogramkan secara tersusun. Setelah darah yang membawa oksigen dalam salur nadi telah terlibat dalam proses pembakaran, sifatnya yang mengandungi karbon dioksida dibawa balik ke jantung menerusi salur darah yang berasingan dan dipam keluar semula untuk dibersihkan oleh paru-paru yang mempunyai sistem pembersihan yang cekap dan mekanisme yang teratur untuk membersihkan darah tersebut.



Gas yang tidak diperlukan dibebaskan, manakala darah yang telah disaring dan bersih itu dialirkan kembali ke jantung menerusi ruang atau bilik jantung yang berasingan. Kawalan darah dalam jantung dilakukan oleh injap yang sangat cekap fungsinya.



Darah yang bersih dan kotor tidak bercampur aduk, lalu jantung seperti mesin automatic yang sangat patuh kepada sistem yang diprogramkan Penciptanya meneruskan perjalanannya sampai ke suatu masa yang tertentu.



Sistem aliran darah manusia berlaku secara tertib tersusun bermula daripada jantung ke seluruh anggota badan. Edaran darah berlaku dalam pusingan yang lengkap berterusan. Tiada makhluk lain yang mengawal perjalanan jantung kecuali terserah kepada rahmat Ilahi.



Bahkan semasa individu itu tidur pun, jantung masih meneruskan denyutan berirama secara teratur, harmoni dan jitu. Darah beredar dalam sistem edarannya tanpa sekali pun melakukan kesilapan. Kesilapan jantung berfungsi mengikut rutin perjalanannya yang telah ditentukan akan membawa maksud buruk padahnya.

(Ulul Al-Albab: Ajaibnya Alam Semesta Oleh Mat Rofa Ismail)


Melihat kepada jantung yang Allah berikan kepada kita, memberikan pengajaran bahawa perlunya kita mengikut aturan yang Allah berikan kepada kita.

Kesilapan di dalam menjalani kehidupan, membawa bencana di kemudian hari.

Bertasbihlah kepada Allah, wahai manusia kerana makhluk Allah yang lain semuanya bertasbih memuji Tuhan Semesta Alam

Moga bermanfaat.

Hafid Sulaiman


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...