Thursday, 19 November 2015

Lelaki Dengan Masalah Prostat





Entri kali ini, saya menukilkan satu rencana yang ditulis oleh Dr Tan Khoon Eu, yang merupakan seorang doktor pakar. Saya kongsikan untuk kita ambil manfaat bersama. Rencana ini dipaparkan di dalam Utusan Online.
BACA: Kanser Prostat Dan Pembesaran Prostat


Lelaki Dengan Masalah Prostat


PROSTAT adalah kelenjar yang terletak di pangkal pundi kencing golongan lelaki dan mengelilingi salur kencing yang juga dikenali sebagai urethra.

Saiznya sebesar kacang walnut sementara fungsinya adalah menghasilkan cecair yang beralkali untuk air mani.

Seperti kelenjar yang lain, beberapa masalah dan penyakit boleh timbul dalam kelenjar prostat. Penyakit dan masalah yang utama adalah Benign Prostatic Hyperplasia (Pembesaran Kelenjar Prostat) dan kanser prostat.

Pembesaran Kelenjar Prostat


Benign Prostatic Hyperplasia atau BPH adalah pembesaran kelenjar prostat yang disebabkan oleh rangsangan hormon testosterone.

Pertambahan saiz prostat sebegini dapat dilihat di kalangan lelaki berumur 40 tahun ke atas. Mengikut perangkaan, lebih 50 peratus lelaki pada peringkat umur 40-an menghadapi masalah ini dan peratusan berkenaan meningkat kepada 75 peratus di kalangan mereka yang berumur 80 tahun ke atas.

Bilangan kes BPH di Malaysia kian meningkat dengan bertambahnya bilangan warga emas. Pada ujian saringan Kempen Kesedaran Prostat Peringkat Kebangsaan 2004, lebih 50 peratus daripada lelaki yang disaring didapati mempunyai gejala ini.

Saiz kelenjar prostat yang besar daripada normal akan menyebabkan salur kencing yang melalui kelenjar tersebut sempit.

Akibatnya, mereka yang mempunyai masalah ini akan kerap mengalami kesukaran dalam membuang air kecil.

Antara tanda-tanda akibat BPH termasuklah aliran kencing yang kurang baik (poor stream), kerap membuang air kencing (frequency), tidak dapat mengosongkan pundi kencing selepas membuang air (incomplete emptying) dan air kencing menitik dari kemaluan selepas selesai membuang air (terminal dribbling).

Selain itu, pesakit juga akan mengalami nokturia iaitu perlu bangun dari tidur pada waktu malam untuk membuang air kecil.

Sekiranya tidak dirawat, pembesaran kelenjar prostat yang tidak dikawal akan menyebabkan salur kencing tersumbat dan pesakit tidak dapat membuang air kencing secara normal.

Selain itu, tekanan di dalam pundi kencing yang tinggi boleh menyebabkan risiko buah pinggang menjadi bengkak dan gagal berfungsi (renal failure).

Pembentukan batu karang juga boleh berlaku di dalam pundi kencing akibat masalah tersebut. Oleh kerana pesakit perlu meneran untuk mengeluarkan air kencing, dia juga berisiko mendapat penyakit hernia.

Selain masalah kesihatan, pesakit juga akan menghadapi pelbagai masalah sosial kerana perlu kerap ke tandas untuk kencing.

Oleh kerana pesakit kadang kala terpaksa ke tandas dengan begitu kerap, hingga sejam sekali, ini akan mengganggu aktiviti sosialnya seperti ketika melancong, menonton wayang atau memandu kereta ke tempat yang jauh.

Keperluan bangun pada waktu malam untuk membuang air kencing juga mengganggu tidur seseorang pesakit dan menyebabkannya letih pada siang hari kerana kurang tidur. Ada juga pesakit yang perlu bangun antara enam hingga lapan kali setiap malam.

Pengesahan dan rawatan


Pengesahan penyakit BPH memerlukan sejarah kesihatan pesakit dan tanda-tanda pesakit digunakan untuk mengkategorikan sama ada keadaan serius atau tidak mengikut International Prostate Symptom Score (IPSS).

Tahap IPSS antara lapan hingga sembilan memerlukan rawatan. Sekiranya tahap IPSS seseorang itu adalah 20 hingga 35, keadaannya dikategorikan sebagai serius.

Pemeriksaan fizikal melibatkan pemeriksaan melalui dubur untuk mengesahkan bahawa kelenjar prostat sudah membesar.

Di pusat urologi, terdapat juga alat yang dapat mengukur sama ada aliran air kencing lemah atau tidak (uroflowmeter).

Ujian darah yang perlu dijalankan adalah untuk menentukan fungsi buah pinggang (renal profile) serta bagi menyaring antigen kanser prostat (PSA- Prostate Specific Antigen).

Rawatan untuk BPH pula mungkin secara pengambilan ubat-ubatan ataupun pembedahan. Ubat yang digunakan adalah jenis alpha-2-blocker yang berperanan mengurangkan saiz kelenjer prostat.

Selain itu, ubat jenis 5-alpha reductase dapat membantutkan pembesaran saiz kelenjar prostat dengan mengurangkan penghasilan hormon testosteron.

Berbanding dengan alpha-2-blocker yang memberi kesan hampir serta-merta, ubat jenis 5-alpha reductase hanya akan memberi kesan selepas lebih kurang satu bulan, tetapi kesannya juga lebih berpanjangan.

Kebanyakan kes BPH dapat dirawat dengan kaedah perubatan. Pembedahan diperlukan sekiranya tanda-tanda tidak dapat dikawal lagi dengan ubat atau sekiranya terdapat komplikasi seperti batu karang.

Pembedahan yang biasa dijalankan adalah transurethral resection of prostate (TURP) di mana bahagian prostat yang menyebabkan salur kencing menjadi sempit dibedah untuk membolehkan air kencing mengalir dengan elok semula.

Pembedahan ini dijalankan secara endoskopi di mana teropong khas (endoskop) dimasukkan ke dalam salur kencing dan membolehkan kelenjar prostat dibedah dengan hanya menggunakan alat endoskopi.

Komplikasi yang mungkin terjadi akibat pembedahan ini termasuk pendarahan, masalah pancutan air mani (retrograde ejaculation) serta mati pucuk.

Kaedah-kaedah baru rawatan termasuk dengan penggunaan tenaga gelombang mikro untuk memusnahkan tisu prostat (transurethral microwave thermotherapy).


Kanser Prostat


Kanser prostat terjadi apabila sel-sel prostat mengalami mutasi dan bertambah tanpa terkawal. Risiko menghidapi kanser prostat juga bertambah apabila umur melebihi 45 tahun.

Purata umur penghidap pada masa mula didiagnosis adalah 70 tahun. Di Amerika Syarikat, ia telah kerap terjadi di kalangan lelaki berketurunan Afrika.

Antara orang terkemuka yang meninggal dunia akibat kanser prostat termasuk bekas presiden Perancis, Francois Mitterand, presiden Zaire, Mobuto dan pelakon Bill Bixby.



Pada peringkat awal, kanser prostat tidak menyebabkan apa-apa tanda yang ketara berbanding BPH.

Biasanya ia dikesan melalui ujian saringan PSA (prostate specific antigen). Apabila saiz prostat bertambah, ia akan menyebabkan tanda-tanda yang serupa dengan BPH seperti kesusahan keluar air kencing, aliran kencing yang lemah, kencing kerap serta nokturia.

Selain itu, mungkin akan terdapat darah yang keluar bersama air kencing pesakit. Pada ketika ini, kanser prostat boleh dikesan secara pemeriksaan dubur kerana ciri-ciri strukturnya yang berbiji-biji kasar serta keras.



Pada peringkat lewat, sel-sel kanser prostat boleh merebak melalui aliran darah ke organ-organ lain seperti tulang, terutamanya tulang paha, serta ke paru-paru.

Seseorang pesakit akan mengalami sakit pada tulang serta masalah bernafas. Sekiranya tulang belakang juga terlibat, tekanan terhadap saraf tunjang akan menyebabkan seseorang itu lumpuh pada kedua-dua kaki.


Mengesan dan merawat


Seperti yang dinyatakan tadi, kanser prostat dikesan melalui pemeriksaan dubur serta ujian saringan PSA.

Ujian biopsi prostat melalui dubur berpandukan ultrasound (transrectal ultrasonic biopsy) juga perlu dilakukan untuk mengesahkan seseorang itu menghidapi kanser prostat.

Kanser prostate boleh dirawat secara pembedahan dengan mengeluarkan seluruh kelenjar tersebut (radical prostatectomy). Di sesetengah pusat pakar urologi, prosedur ini turut dijalankan dengan bantuan robot.

Radioterapi (sinaran X) juga boleh digunakan untuk merawat kanser prostat dengan memusnahkan sel-sel kanser.

Ia amat berfaedah terutamanya jika pembedahan tidak dapat dijalankan pada sesetengah pesakit yang berisiko tinggi.

Radioterapi juga digunakan untuk merawat mereka yang mempunyai sel-sel kanser yang telah merebak ke tulang paha dan tulang belakang.

Kaedah rawatan lain termasuk kaedah hormon iaitu penggunaan ubat untuk menghentikan sel-sel kanser prostat daripada dirangsang oleh hormon dihydrotestosterone.

Kaedah ini menghalang hormon dihydrotestosterone daripada dihasilkan dan ini akan menyebabkan sel-sel kanser prostat berhenti membahagi serta membesar.

Paras dihidrotestoterone boleh diturunkan juga melalui pembedahan dengan mengeluarkan kedua-dua buah zakar.

Ini kerana buah zakar berfungsi menghasilkan testosterone yang boleh merangsang kelenjar prostat menghasilkan dihydrotestosterone.

Kaedah rawatan hormon biasanya digunakan apabila kanser prostat telah sampai ke peringkat lewat.

Walaupun dapat mengurangkan bilangan sel-sel kanser, ia tidak dapat menyembuhkan pesakit, dan lagipun, ia cuma berkesan untuk satu hingga dua tahun sahaja.

Fungsi utama pada peringkat ini adalah untuk melegakan tanda-tanda sakit pada pesakit yang sudah tenat.

Salah satu ciri kanser prostat adalah sel-sel kansernya kebanyakannya membiak dengan perlahan berbanding kanser yang timbul pada organ lain seperti usus dan perut.

Kajian melalui pembedahan mayat (autopsi) pada lelaki yang meninggal dunia akibat punca-punca lain mendapati 30 peratus daripada mereka yang berumur 50 tahun sudah mempunyai kanser prostat dan angka ini meningkat kepada 80 peratus di kalangan mereka yang berumur 70 tahu ke atas!

Ini bermakna kebanyakan lelaki tidak akan sedar bahawa mereka sudahpun mempunyai kanser prostat serta tidak mengalami apa-apa gejala dan tanda akibat kehadiran kanser tersebut dan akan meninggal dunia akibat punca lain seperti sakit jantung bukannya kerana kanser prostat.

Akhirnya, masalah kelenjar prostat boleh diatasi sekiranya dapat dirawat pada peringkat awal. Lelaki yang berumur 50 tahun ke atas dinasihatkan berjumpa doktor untuk menjalani ujian saringan melalui borang soal jawab IPSS, pemeriksaan dan ujian darah supaya gejala ini dapat dikesan serta dirawat pada peringkat awal.

Moga Bermanfaat

Hafid Sulaiman

 

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...