Thursday, 23 April 2015

Membeli Semangat Si Peniaga Kecil



Pengalaman melihat ibu saya yang membuat kuih untuk dijual di kantin sekolah memberikan saya gambaran betapa gigihnya seorang isteri membantu suami untuk menambah pendapatan keluarga. Betapa gembiranya hati apabila kuih yang disediakan sejak jam 4 pagi telah habis dijual.


Si Kecil Berniaga Membawa Bakul

Saya melihat anak-anak kecil ini berniaga kuih membawa bakul ke sana ke mari. Macam suasana di kampung.

Apabila saya memerhatikan anak-anak kecil ini berniaga, tiada lain yang saya fikirkan melainkan bagaimana untuk menggembirakan mereka.

Anak-anak kecil ini berniaga di tepi kaki lima premis kedai. Membawa bakul-bakul kecil yang penuh berisi kuih.

“Abang, beli kuih bang.. Ada banyak lagi ni.. Belilah banyak sikit..” saya senyum apabila mereka menyapa saya.

Setiap kali saya terserempak dengan mereka pasti saya akan membeli kuih mereka mengikut kemampuan saya bagi menyokong usaha mereka. Sehinggakan kalau saya lalu di kawasan yang sering mereka berjualan, pasti saya akan tertanya-tanya, ada atau tidak mereka berjualan hari ini.

Bolehkah anda semua bayangkan betapa bahagia dan bersemangatnya mereka ketika kuih muih mereka ini dibeli.. Siapa yang pernah berniaga pasti akan seronok.

Harga kuih muihnya ada yang 50 sen sebiji tapi cukup puas hati apabila memakannya kerana besar kuihnya setanding dengan harganya dan sedap.

Kadang-kadang mereka ini seringkali tersalah kira, sehingga saya terpaksa membetulkannya.

Mungkin mereka susah dan tak bersekolah tinggi, tapi semangat mereka haruslah dipuji..

Pernah sekali, isteri saya melihat mereka turun dari bas membawa bakul-bakul kuih dan duduk berniaga di kaki lima pejabat pos.

Pernah juga terserempak mereka menaiki sebiji motosikal. 4 orang menaiki 1 motosikal dengan bakul-bakul kuih mereka.

Siapa pun mereka, mereka bersemangat untuk melakukan kerja.

Mudahkan Jangan Susahkan


Tahukah kita bahawa dengan wang yang tidak terlalu besar, sebenarnya kita boleh mencipta kemudahan dan menaikkan semangat orang lain.

Memberikan kemudahan kepada orang  lain ada banyak bentuknya. Antara lain memberikan sokongan kepada para peniaga kecil dengan membeli apa yang mereka jual.

Mungkin dengan 10 sen kita boleh menggembirakan orang lain. Dengan 10 sen juga kita boleh menyusahkan orang lain.

Kadang-kadang kita membeli kuih di tepi jalan daripada seorang Mak Cik yang bersamanya anak kecil. Harganya mungkin RM1.90. Kita beri RM2.00. Dan katakanlah pada makcik tersebut, 10 sen itu berikanlah kepada anak tersebut. Sekurang-kurang ada sedekah dari kita walaupun 10 sen.

Semoga Allah akan memberikan kita kemudahan dalam urusan harian kita disebabkan memudahkan orang lain.

Coretan Kehidupan

Hafid Sulaiman

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...