Friday, 28 August 2015

Bersediakah Kita Melalui Titian Sirat





Bersediakah Kita Melalui Titian Sirat. Berjalan di atas titian sirat yang terbentang di atas Neraka dan berakhir di syurga adalah suatu yang pasti dilalui oleh setiap manusia. Ia berlaku setelah manusia melalui proses hisab dan timbangan amal.


Digambarkan oleh pembawa risalah Allah, bahawa manusia meniti di atas titian yang di bawahnya ada jilatan api yang menyala-nyala, sambaran duri atau penyangkuk tajam dari neraka dan manusia akan melaluinya berdasarkan amalannya di dunia.

Jika seseorang itu jatuh dikait atau pun tergelincir, maka neraka adalah tempat tinggalnya untuk suatu tempoh yang telah ditetapkan oleh Allah.

Kalam Nubuwwah


Dalam sebuah hadis panjang, Rasulullah Salla Allah ‘alayh wa sallam bersabda:


... وَيُضْرَبُ الصِّرَاطُ بَيْنَ ظَهْرَيْ جَهَنَّمَ، فَأَكُونُ أَنَا وَأُمَّتِي أَوَّلَ مَنْ يُجِيزُ، وَلَا يَتَكَلَّمُ يَوْمَئِذٍ إِلَّا الرُّسُلُ، وَدَعْوَى الرُّسُلِ يَوْمَئِذٍ: اللهُمَّ سَلِّمْ، سَلِّمْ، وَفِي جَهَنَّمَ كَلَالِيبُ مِثْلُ شَوْكِ السَّعْدَانِ، هَلْ رَأَيْتُمُ السَّعْدَانَ؟ " قَالُوا: نَعَمْ يَا رَسُولَ اللهِ قَالَ: " فَإِنَّهَا مِثْلُ شَوْكِ السَّعْدَانِ غَيْرَ أَنَّهُ لَا يَعْلَمُ مَا قَدْرُ عِظَمِهَا إِلَّا اللهُ، تَخْطَفُ النَّاسَ بِأَعْمَالِهِمْ، فَمِنْهُمُ الْمُؤْمِنُ بَقِيَ بِعَمَلِهِ، وَمِنْهُمُ الْمُجَازَى حَتَّى يُنَجَّى ..

"...Dan diletakkan sebuah jambatan (sirat) di atas Neraka Jahannam, Maka aku dan umatku menjadi orang pertama yang meniti di atasnya. Tidak ada yang berkata-kata pada hari itu kecuali para rasul. Rasul-rasul berdoa pada hari itu: 'Ya Allah, selamatkan, selamatkan.' Di kanan kirinya ada pengait-pengait seperti duri pokok Sa'dan. Pernahkah kalian melihat duri pokok Sa'dan?" Para sahabat menjawab: "Pernah wahai Rasulullah."
Baginda melanjutkan: "Sesungguhnya pengait itu seperti duri pokok Sa'dan, namun hanya Allah yang tahu besarnya. Maka ramai manusia yang disambar dengan pengait itu sesuai dengan amal perbuatannya di dunia. Di antara mereka ada yang dibinasakan kerana amalannya, di antara mereka ada yang terjatuh lalu diselamatkan..."  (Hadith riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Keimanan kepada perkara ini merupakan satu kewajipan dan ia menjadi sebahagian daripada akidah mukmin.

Setiap muslim seharusnya menjadikan pegangan akidah ini sebagai kompas dunia untuk meraik kejayaan di akhirat.

Manusia perlu sedar bahawa Sirat di Akhirat ini wujud hasil daripada titian (jalan) hidup yang kita pilih selama tinggal di dunia. Kita meminta siratulmustaqim (jalan yang lurus) di dalam solat kita. Sesiapa yang memilih jalan Allah, sambil berpegang teguh dengan syariat Islam, maka sirat di Akhirat ini akan mudah dilalui untuk tiba ke Syurga idaman.

Gambaran Berkenaan Sirat


Para sahabat Nabi Salla Allah ‘alayh wa sallam pernah bertanya kepada baginda,
 "Wahai Rasulullah, bagaimanakah sirat itu?" 

قَالَ: " مَدْحَضَةٌ مَزِلَّةٌ
Baginda menjawab: "Ia adalah sebuah jalan yang sangat licin, sangat susah untuk berdiri di atasnya." (Riwayat Al-Bukhari)

Kewujudan Sirat adalah akidah ulama Ahlus Sunnah secara ijmak. Adapun Sirat sebagai jambatan Jahannam (جسر جهنم) adalah menurut pegangan majoriti ulama Ahlus Sunnah

Namun, riwayat-riwayat berkaitan sifat Sirat yang menyebut ‘lebih halus dari rambut dan lebih tajam dari pedang’ adalah tidak diterima zahirnya secara sepakat di sisi mereka, di samping kedaifan sebahagian jalan-jalan riwayatnya. Justeru, kemungkinan ada kelonggaran di situ sepertimana takwilan sebahagian ulama Ahlus Sunnah di atas.

Imam al-Nawawi menyebutkann: “suatu jambatan di atas matn (puncak) Jahannam yang akan dilalui di atasnya oleh manusia seluruhnya” adalah takrif majoriti ulama Ahlus Sunnah.

Sirat ialah Jambatan Jahannam. Hakikat Sirat sebagai jambatan Jahannam (جسر جهنم) adalah berdasarkan banyak hadis-hadis yang menyebutkan demikian. Kalimah ini diriwayatkan dari ramai sahabat, meskipun matan-matan hadisnya berbeza-beza, di antara sahih dan daif. 

Justeru, ibarat (جسر جهنم) ini telah diikuti oleh majoriti ulama Islam dan menerimanya secara hakiki, bukan majazi. Antaranya, Imam Al-Bukhari di dalam kitab Sahihnya telah memberi judul bab (الصراط جسر جهنم), iaitu Sirat ialah jambatan Jahannam. 

Antara matannya, dari riwayat Abu Hurairah:

وَيُضْرَبُ جِسْرُ جَهَنَّمَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَأَكُونُ أَوَّلَ مَنْ يُجِيزُ "...
Dan diletakkan (direntang) jambatan Jahannam, Rasulullah Salla Allah ‘alayh wa sallam bersabda: Akulah orang yang mula-mula akan melintasinya ...".

Imam al-Bukhari juga meriwayatkan hadis lain Abu Hurairah:

فَيَدْعُوهُمْ فَيُضْرَبُ الصِّرَاطُ بَيْنَ ظَهْرَانَيْ جَهَنَّمَ فَأَكُونُ أَوَّلَ مَنْ يَجُوزُ مِنْ الرُّسُلِ بِأُمَّتِهِ “…
Allah kemudian memanggil mereka, lalu dibentangkanlah Sirat di atas neraka Jahannam. Maka akulah orang pertama yang akan melewatinya dari kalangan para rasul bersama umatnya ...”.

Sirat Itu Lebih Halus Dari Rambut Dan Lebih Tajam Dari Pedang


Adapun jambatan itu lebih halus dari rambut dan lebih tajam dari pedang (أَدَقُّ مِنْ الشَّعْرَةِ وَأَحَدُّ مِنْ السَّيْفِ), atau sebahagian maknanya yang hampir sama. Terdapat beberapa riwayat tentang hal ini.

Imam al-Bayhaqi menyatakan bahawa ibarat ini tidak ditemukan dalam riwayat-riwayat yang sahih. Mungkin ia bermaksud ibarat dengan isim tafdhil tersebut kerana gurunya, al-Hakim ada meriwayatkan seumpama maknanya tetapi dengan lafaz (كحد السيف), yakni seperti ketajaman pedang, dari ‘Abdullah bin Mas’ud, dan katanya: Sahih, serta disepakati oleh al-Zahabi.

Dan dengan lafaz (مثل حد الموسى), yakni seperti ketajaman pisau cukur, dari Salman al-Farisi, dan katanya: Sahih menurut syarat Muslim.

Riwayat-riwayat ini dan lain-lainnya dapat saling kuat menguatkan. Imam al-Nawawi telah menyebut dalam Syarah Sahih Muslim bahawa ia adalah pandangan golongan Mutakallimun dari kalangan ulama-ulama Syafi’iyyah dan juga selain mereka dari kalangan para Salaf.

Menurut Imam al-Ghazali (w. 505H), ia bukannya suatu yang mustahil bagi qudrat Allah SWT. (al-Iqtisad fi al-I‘tiqad).

Al-Bayhaqi membawakan kata-kata al-Halimi yang membawa maksud bahawa “lebih halus dari rambut dan lebih tajam dari pedang” itu adalah tamsilan (kinayah, simbolik) terhadap senang dan susah bagi melintasi Sirat serta kepatuhan para malaikat dalam menjalankan tugas mereka.

Demikian juga pendapat ‘Izzuddin bin ‘Abd al-Salam, al-Qarafi dan Badruddin al-Zarkasyi, sepertimana yang disebut oleh Syeikh Ibrahim al-Bajuri dalam Syarh Jawharah al-Tawhid tanpa sebarang komentar terhadapnya.

Pandangan Ulama Ahli Sunnah Wal-Jamaah Kewujudan Sirat adalah akidah Ahli Sunnah Wal-Jamaah secara ijmak, namun tidak semua membahaskannya secara detail.

Ramai ulama Ahli Sunnah Wal-Jamaah yang membincangkan tentang Sirat mentakrifkan Sirat sebagai:

جسر ممدود على متن جهنم يرده الخلق كافة أدق من الشعرة وأحد من السيف
“Sebuah jambatan yang terbentang di atas perut neraka Jahannam, yang akan dilalui oleh seluruh makhluk, ia lebih halus daripada rambut dan lebih tajam daripada pedang”.

Ada ulama yang mentakrifkan Sirat sepertimana di atas, tetapi tanpa menggandingkan di dalam takrifnya sifat “lebih halus daripada rambut dan lebih tajam daripada pedang”.

Beramallah


Imam Abu Tahir al-Qazwini berkata, "Setiap orang yang biasa berjalan di titian agama, maka ia akan sangat mudah melintasi sirat di Akhirat. Sesiapa yang tidak biasa melaluinya, maka ia akan menemui kesulitan berjalan di atasnya. Kakinya akan tergelincir dan ia akan menyesal selama-lamanya. Titian sirat ini tidak lain adalah sebuah kewujudan daripada sirat maknawi (di dunia)."

Hadith Nabi Salla Allah ‘alayh wa sallam menggambarkan


فَيَمُرُّ الْمُؤْمِنُونَ كَطَرْفِ الْعَيْنِ، وَكَالْبَرْقِ، وَكَالرِّيحِ، وَكَالطَّيْرِ، وَكَأَجَاوِيدِ الْخَيْلِ وَالرِّكَابِ، فَنَاجٍ مُسَلَّمٌ، وَمَخْدُوشٌ مُرْسَلٌ، وَمَكْدُوسٌ فِي نَارِ جَهَنَّمَ

"Maka berlalu orang Mukmin dalam sekelip mata, seperti kilat, seperti angin, seperti burung, seperti kuda pacu dan seperti jalannya unta. Maka di antara mereka ada yang selamat, ada juga yang tersangkut lalu diselamatkan dan ada juga yang terjatuh dalam Neraka Jahannam." (Hadith riwayat Muslim)

Dalam riwayat Imam Hannad bin as-Sarri daripada Ibn Mas'ud, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, "Lalu seperti orang yang berlari, lalu seperti orang yang berjalan. Ada juga yang berjalan dengan merangkak menggunakan perutnya. Ia berkata, 'Ya Tuhan, kenapa Engkau lambatkan aku?' Maka dijawab, 'Aku tidak melambatkanmu, tetapi amal perbuatanmu sendiri yang melambatkan dirimu.'"

Justeru itu, marilah kita beramal dengan sebaik-baik amalan. Pastikan titian yang bakal kita lalui nanti di akhirat, akan membawa kita terus ke dalam syurga Allah, tempat idaman bagi semua orang.

Moga perkongsian ini memberikan kita pengajaran untuk menjadikan kehidupan kita lebih baik lagi. Maka persiapkanlah diri kita.

RUJUKAN:

 
Susunan
Hafid Sulaiman

2 comments:

  1. Jika sendiri menilai amalan...memang xbersedia untuk melalui titian sirat ini. Semoga kita semua dipermudahkan...amin

    ReplyDelete
    Replies
    1. Amin.. semoga dipermudahkan.. Saling tolong menolong dan mengingati..

      Delete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...