Friday, 8 May 2015

Makanan Itu Wujud Di Tempat Yang Paling Dahsyat


Makanan adalah merupakan satu nikmat di dunia bagi semua orang. Makanan penting untuk memastikan setiap daripada kita dapat meneruskan kehidupan dengan baik. Disebabkan itu, manusia akan berusaha untuk mendapatkan makanan yang terbaik untuk dirinya. Yang paling lazat, paling berkhasiat, seimbang, menyelerakan dan yang memuaskan hati masing-masing.


Apa sahaja yang berlaku di dunia, seharusnya mengingatkan kita kepada kehidupan yang satu lagi.

Kehidupan di syurga dan neraka. Setiap penghuninya akan dijamu dengan makanan seperti mana di dunia. Perut manusia juga memerlukan sesuatu untuk di isi untuk meneruskan kehidupan.

Mari kita baca sekelumit gambaran yang diceritakan oleh Allah dan RasulNya tentang makanan yang wujud di tempat yang paling dahsyat iaitu neraka.

Moga apabila kita mengetahui tentang perkara ini, ia membantu kita untuk memperbaiki kehidupan kita terutamanya sebagai ketua keluarga agar berusaha menyediakan sesuatu yang terbaik untuk keluarga.

Makanan Ahli Neraka


Penghuni neraka mempunyai kehidupan yang penuh dengan penyeksaan. Inilah tempat yang paling dahsyat dengan makaan yang dahsyat. Makanan, minuman dan pakaian semuanya berbentuk seksaan. Dan semuanya berasal daripada api dan sesuatu yang panas.

Firman Allah yang bermaksud:


12. Kerana sesungguhnya di sisi Kami disediakan (untuk mereka) belenggu-belenggu dan neraka Yang menjulang-julang,
13. serta makanan yang menjadikan pemakannya tercekik, dan azab seksa yang tidak terperi sakitnya. (Al-Muzammil: 12-13)
                                       
Ayat ini beserta beberapa ayat al-Quran yang lain menyebut berkenaan makanan dan minuman di neraka. Ia memberi isyarat bahawa ahli neraka berasa lapar dan dahaga sebagai seksaan bagi mereka. Lapar dan dahaga yang mereka rasakan jauh lebih menyeksa daripada yang dirasakan oleh orang yang mati kebuluran di dunia ini.


عَنْ أَبِي الدَّرْدَاءِ، قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: " يُلْقَى عَلَى أَهْلِ النَّارِ الجُوعُ فَيَعْدِلُ مَا هُمْ فِيهِ مِنَ العَذَابِ
 Terjemahan: Daripada Abu Darda’ berkata: Rasulullah Salla Allah ‘alayh wa sallam bersabda: Akan dicampakkan perasa lapar kepada ahli neraka. Maka ia (perasaan lapar) menyamai azab seksa yang sedang mereka rasai. (hadith riwayat al-Tirmidhi)

Jika kita renungkan, ‘makanan’ ahli neraka sebenarnya bukanlah makanan. Ia sama sekali tidak memiliki sifat-sifat makanan yang dapat menghilangkan lapar dan dahaga. Malah, ia sebenarnya hanya satu bentuk seksaan untuk sistem dalaman tubuh mereka.

Pelbagai ayat al-Quran dan al-Hadith menerangkan hal ini.

Firman Allah yang bermaksud:
                                                 

17. Dia meminumnya dengan terpaksa dan hampir-hampir tidak dapat diterima oleh tekaknya (kerana busuknya), dan ia didatangi (penderitaan) maut dari segala arah, sedang  ia tidak pula mati (supaya terlepas dari azab seksa itu); dan selain dari itu, ada lagi azab seksa Yang lebih berat. (Ibrahim: 17)

Dalam satu hadith Nabi,



عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ، أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ [ص:707] قَرَأَ هَذِهِ الآيَةَ: {اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُونَ} [آل عمران: 102] قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «لَوْ أَنَّ قَطْرَةً مِنَ الزَّقُّومِ قُطِرَتْ فِي دَارِ الدُّنْيَا لَأَفْسَدَتْ عَلَى أَهْلِ الدُّنْيَا مَعَايِشَهُمْ، فَكَيْفَ بِمَنْ يَكُونُ طَعَامَهُ؟» : «هَذَا حَدِيثٌ حَسَنٌ صَحِيحٌ»


Terjemahan: Daripada Ibn ‘Abbas, bahawa Rasulullah Salla Allah ‘alayh wa sallam membaca ayat ini (bermaksud): Bertakwalah kamu dengan sebenar-benar takwa. Dan janganlah sekali-kali kamu mati melainkan kamu muslim iaitu menyerah diri kepada Allah. (Ali ‘Imran:102). Rasulullah Salla Allah ‘alayh wa sallam lalu bersabda: Andai setitik daripada buah zaqqum dititikkan ke dunia, nescaya musnah semua kehidupan yang terdapat di dalamnya. Maka bayangkan bagaimana jika seseorang memakannya. (Hadith riwayat al-Tirmidhi).

Dari segi bahasa Zaqqum adalah nama bagi setiap makanan yang beracun yang dapat membunuh orang yang memakannya.

Mari baca beberapa lagi maksud daripada firman Allah:


43. (ingatlah), Sesungguhnya pokok Zaqqum, - 44. Menjadi makanan bagi orang yang berdosa (dalam neraka). 45. (Makanan ini pula panas) seperti tembaga cair, mendidih dalam perut, - (Al-Dukhan: 43-45)


64. Sebenarnya ia sebatang pohon yang tumbuh di dasar neraka yang marak menjulang; 65. buahnya seolah-olah kepala-kepala syaitan; (al-Saffat: 64-65).

Rupa pohon ini sangat menyeramkan sehingga disamakan dengan syaitan. Ia disamakan dengan syaitan bagi menunjukkan keburukan yang tidak mengandungi sebarang kebaikan sedikitpun. Jika pohon ini menyeramkan, mengapa ahli neraka tetap mendatanginya dan memakan buahnya?? Mereka benar-benar telah memakan sebahagian daripada pohon ini.

Jawapannya ialah kerana mereka berasa lapar yang teramat sangat dan tidak menemui pilihan lain. Ahli neraka bukan sahaja memakannya, malah memenuhkan perut dengannya.

Firman Allah yang bermaksud:
                                                                                                                 

51. "Kemudian, Sesungguhnya kamu wahai orang-orang yang sesat yang mendustakan (kedatangan hari kiamat), 52. tetap akan memakan (pada hari itu) dari sebatang pokok, iaitu pokok Zaqqum, 53. "Maka kamu akan memenuhi perut kamu dari pokok (yang pahit buahnya) itu, 54. "Selepas itu kamu akan meminum pula dari air panas yang menggelegak, (Al-Waqiah: 51-54)


Dan antara makanan lain adalah Ghislin iaitu himpunan nanah, peluh yang keluar daripada kemaluan orang yang berzina, air mulut peminum arak, pengumpat, pembohong, orang yang bercakap perkara batil dan saksi dusta.

Firman Allah yang bermaksud:


35. "Maka pada hari ini, tidak ada baginya di sini (seorang pun dari) kaum kerabat serta sahabat handai (yang dapat menolongnya), -
36. "Dan tidak ada makanan (baginya) melainkan dari air danur (Ghislin)
37. "Yang tidak memakannya melainkan orang-orang yang melakukan perkara yang salah (yang berdosa)". (Al-Haqqah 35-37)


Selain itu, makanan mereka juga adalah dari’. Iaitu duri yang paling pahit yang tersangkut di halkum, dilalukan dengan air yang mendidih, tidak menjadikan lapar itu hilang dan tidak mengenyangkan langsung.



Firman Allah yang bermaksud:


6. Tiada makanan bagi mereka (di situ) selain dari pokok-pokok yang berduri, 7. Yang tidak menggemukkan, dan tidak pula dapat menghilangkan sedikit kelaparan pun. (Al-Gasyiah 6-7)

Pengajaran


Segala apa yang kita makan di dunia ini seharusnya mengingatkan kita tentang makanan yang akan kita makan di dalam kehidupan yang tiada kematian.

Apabila kita mengimpikan makanan yang sedap-sedap di dunia, kita juga seharusnya mengimpikan makanan yang begitu di akhirat kelak.

Marilah sama-sama kita memohon perlindungan daripada Allah daripada memasukkan kita ke dalam neraka dan memakan makanan yang tidak sanggup kita makan di tempat yang paling dahsyat. Semoga kisah ahli neraka ini menambahkan keimanan kita kepada alam akhirat.

Hafid Sulaiman

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...