Friday, 15 May 2015

Musibah Itu Untuk Manusia Berubah




Pengalaman lalu mengajar manusia. Manusia boleh berubah apabila ada musibah yang menimpanya. Kecil atau besar musibah itu membawa kepada perubahan dalam hidup manusia. Manusia perlu kepada musibah agar dirinya boleh berubah yang pastinya ke arah yang lebih baik. Barangsiapa yang ingin diberikan kebaikan oleh Tuhan, maka pasti Tuhan akan menimpakan musibah ke atasnya.


Banyak perkara yang berubah disebabkan berlakunya sesuatu yang tidak anda ingini. Anda susah untuk berubah dan mengubah kehidupan anda. Maka kerana itu, anda meneruskan kehidupan anda seperti biasa sehinggalah ada sesuatu yang berlaku yang menyebabkan anda mengubah kehidupan.

Aku Ingin Berubah


Contoh yang paling mudah adalah kesihatan. Anda gembira dengan kehidupan anda sekarang. Berasa selesa seolah-olah tiada ancaman. Rasa sihat. Anda merokok, minum minuman berkarbonat, tak suka makan buah-buahan dan sayuran, gemarkan makanan segera dan lain-lain tabiat pemakanan yang anda rasa selesa.

Bila anda nak berubah???

Apabila tekanan darah tinggi anda naik. Apabila badan sudah tak fit lagi. Apabila kepala sering sakit dan pening. Apabila ada kencing manis. Dan apabila doktor mengatakan jika anda tidak mengubah cara pemakanan anda, anda akan MATI.

Anda akan lebih menghargai kesihatan apabila adanya penyakit sebagai musibah.

Segera berubah selepas mendapat musibah yang kecil sebelum anda mendapat musibah yang lebih besar.

Dalam sisi lain juga, anda dapat lihat, bila anda rasa perkahwinan itu sangat bermakna…?? Bila suami isteri bergaduh dan cuba menyelamatkan perkahwinan.

Bila anda gagal dalam peperiksaan, ia musibah, dan anda berubah untuk tidak lagi gagal dalam pelajaran.

Perniagaan anda rugi, anda mula berubah untuk merangka strategi yang lebih baik agar lebih maju.

Bilakah biasanya anda akan berdoa dengan sebenar-benar doa.?? Apabila anda jatuh tersungkur di dalam kehidupan. Anda berubah demi mendapat pertolongan dari Tuhan.

Cari Peluang Untuk Jadi Lebih Baik


Manusia yang efektif adalah mereka yang tidak melihat sesuatu musibah itu sebagai masalah besar dalam kehidupan. Tetapi menjadikan ia sebagai titik tolak untuk berubah.

“Bagaimana seharusnya saya berfikir dan bertindak? Bagaimana saya perlu berubah untuk jadi lebih baik???”

Namun bagi mereka yang sering mengalah dan mengeluh, mereka tidak menghiraukan tanda-tanda ini dan  mereka akan berkata: “Kenapalah perkara ini berlaku ke atas diriku”.

Manusia akan terus melakukan apa yang dirasakan betul sehingga ada sesuatu yang memaksa dirinya untuk berubah.

Manusia akan mempelajari sesuatu apabila kehidupannya semakin menghimpit. Dia akan berubah dan berusaha untuk meningkatkan kehidupannya. Dia akan mula membuat keputusan yang besar dalam kehidupannya selepas tunduk dan sujud kepada penciptaNya. Sedar akan kelemahannya. Musibah itu membawa dia keluar dari jurang yang sempit kepada lembah yang subur.

Nabi Ayyub alasyh sallam ditimpa musibah untuk jadi lebih baik. Nabi Muhammad salla Allah ‘alayh wa sallam melalui beberapa siri musibah untuk jadi pemimipin paling hebat dan berpengaruh di dalam kehidupan manusia akhir zaman.

 

Adakah Dunia Ini Tempat Musibah?


Ya itulah yang sebenarnya. Bila Tuhan menginginkan kebaikan bagi seseorang, maka Dia akan memberikan musibah kepadanya. Besar atau kecil bergantung kepada diri seseorang. Jika anda mengabaikan tanda-tanda kecilnya, musibah yang lebih besar akan mengambil tempat. Musibah itu untuk manusia berubah.

Hafid Sulaiman

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...