Wednesday, 2 December 2015

10 Gejala Anda Mungkin Menghidap Diabetes





Penyakit kencing manis ataupun Diabetes Mellitus merupakan satu keadaan di mana tahap gula di dalam darah anda adalah tinggi dari normal. Pada zaman sekarang, seseorang mungkin berisiko menghidap masalah diabetes seawal usia 30 an. Gaya hidup seseorang menyebabkan ramai golongan muda mengalami masalah ini. Diabetes boleh dicegah dengan mengamalkan gaya hidup sihat. Makan makanan yang berkhasiat dan sihat, bersenam, kekalkan berat badan yang unggul dan urus emosi dengan baik.
Jangan biarkan diri anda berisiko mendapat diabetes. Ketahui tanda-tanda awal diabetes agar anda dapat melakukan tindakan segera.

Pasti anda tidak mahu, berjumpa dengan doktor selalu dan menjalani pemeriksaan kesihatan yang kerap. Bahkan anda pasti tidak mahu aktiviti harian anda terbatas disebabkan masalah diabetes. 


10 Gejala Anda Mungkin Menghidap Diabetes





Kerap kencing pada waktu malam.
Buah pinggang terpaksa bekerja lebih untuk mengurangkan gula tambahan yang terdapat di dalam darah. Ini memaksa seseorang untuk bangun beberapa kali pada waktu malam. Inilah cara tubuh kita menguruskan gula darah yang tinggi

Haus atau dahaga yang berlebihan
Disebabkan selalu kencing, seseorang akan cepat rasa dahaga bagi menggantikan air yang hilang.

Cepat Penat
Kekurangan tenaga kerana tubuh gagal memproses glukosa yang diambil melalui makanan untuk ditukar kepada tenaga. Kurang tidur dan tidur yang tidak lena juga menggangu prestasi harian.

Rasa Lapar
Seseorang akan cepat rasa lapar disebabkan glukosa tidak dapat diproses seperti biasa. Ini menyebabkan tubuh menghantar isyarat lapar dan menyebabkan seseorang itu mengambil makanan walaupun baru lepas makan.


Berat Badan Turun Secara Mendadak
Berat badan yang turun secara mendadak bukanlah petunjuk bahawa seseorang berjaya menurunkan berat badan secara sihat. Apa yang mungkin berlaku adalah tubuh memberi isyarat ‘lapar’ kerana hormon insulin gagal membekalkan glukosa ke dalam sel untuk digunakan sebagai tenaga. Akibatnya penguraian lemak berlaku pada otot sebagai sumber tenaga alternatif untuk tubuh.

Kegatalan dan Kerengsaan Kulit
Kegatalan di bahagian badan tertentu terutamanya bahagian kemaluan. Disebabkan jangkitan kulat. Sistem imun yang lemah memudahkan ia untuk merebak. Kulit di bahagian leher dan ketiak menjadi gelap. Ini merupakan proses awal di mana berlakukan masalah insulin.

Luka Yang Lambat Sembuh
Glukosa yang berlebihan merosakkan urat dan arteri sehingga menyekatkan darah untuk sampai ke anggota badan tertentu untuk membantu penyembuhan.

Rasa Kebas pada Tangan dan Kaki
Kesemutan, kebas, kejang, rasa mencucuk-cucuk dan bengkak pada tangan dan kaki antara tanda bahawa sistem saraf telah rosak disebabkan diabetes. Jika dibiarkan, kerosakan akan bertambah teruk dan kekal.

Masalah Penglihatan
Glukosa yang tinggi dalam darah mengubah bentuk kanta dan mata menyebabkan penglihatan seseorang itu kabur dan ini juga boleh membawa kepada buta mata.

Ereksi Zakar Kurang Mantap
Ereksi zakar kurang mantap ketika ingin melakukan hubungan seksual bersama pasangan. Ereksi yang berlaku ketika tidur dan bangun di awal pagi juga tidak berlaku. Ini mungkin disebabkan salur darah ke zakar yang bermasalah.


Langkah Bijak


Anda tidak boleh bergantung kepada tanda-tanda ini sahaja. Apa yang penting juga adalah anda melakukan pemeriksaan kesihatan. Pemeriksaan paras gula darah akan memastikan anda mempunyai masalah diabetes atau tidak.

Masalah diabetes mungkin tidak boleh dipulihkan, namun seseorang boleh mengawalnya agar tidak bertambah teruk.

Jom amalkan gaya hidup sihat. 


Moga Bermanfaat

Hafid Sulaiman





No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...