Friday, 4 December 2015

Rahsia Rempah Ratus Di Dalam Hidangan Anda



Rempah ratus yang digunakan di dalam masakan harian kita dianggap sebagai penambah rasa semata-mata. Berbentuk kecil dan sebahagiannya mungkin tak nampak di dalam masakan kita menyebabkan khasiatnya dipandang sebelah mata. Kecil-kecil cili api, kecilnya bukan sebarang kecil. Manfaatnya untuk kesihatan ternyata lebih besar.

Jom kita bongkar enam jenis daripada rempah ratus tersebut.


Rahsia Rempah Ratus di dalam Hidangan




Jintan Putih


Secara Tradisinya, jintan putih mempunyai khasiat dalam pelangsingan. Mengunyah jintan putih dapat membantu meredakan rasa lapar yang dialami dan mengurangkan ketagihan untuk menikmati makanan manis seperti kek dan coklat.


Biji Sawi


Juga dikenali sebagai Mustard Seed. Ada tiga variasi iaitu hitam, coklat dan putih. Di Malaysia, biji sawi berwarna hitam lebih mudah di dapati. Kaya dengan kandungan asid lemak Omega 3, kalsium, serat, zat besi, magnesium, fosfurus, protein, selenium dan niasin.

Selenium adalah antara nutrisi yang dikatakan dapat membantu mengurangkan risiko asma, arthritis dan tekanan darah rendah. Ia juga mampu meredakan masalah penghadaman dan mempertingkatkan lagi metabolism tubuh.

Taburkan sahaja di dalam hidangan sayuran, sup atau ke dalam telur hancur.

Biji Ketumbar


Aromanya sangat membangkit rasa dan mampu memberikan aroma ‘sejuk’ secara semula jadi kepada tubuh.

Sangat kaya dengan kandungan serat, magnesium, flavonoid dan zat besi. Dapat membantu mempertingkatkan fungsi penghadaman, membantu melancarkan pernafasan serta kesegarannya dan juga dapat meningkatkan daya fokus.

Jintan Manis


Ia dapat membantu melegakan kesakitan dalam badan, melancarkan aliran keluar haid, menggalakkan penghasilan susu badan dan membuang gas dalam usus.

Caranya adalah dengan mengamalkan minum setengah cawan air rebusanya setiap pagi.

Selain itu, jintan manis ini juga dapat membantu membuang lemak di pangkal paha dengan cara rebus jintan manis dengan 5 cawan air sehingga mendidih, biarkan sejuk. Amalkan meminum air rebusan jintan manis ini pagi dan petang selama empat minggu.

Lada Hitam


Sangat beraroma dan mempunyai fungsi yang baik dalam memanaskan tubuh serta melancarkan penghadaman. Kebaikannya sebagai agen anti bakteria menjadikan ia sangat bermanfaat dalam membantu mengurangkan gejala selesema dan batuk.

Rasanya yang hangat itu membantu melegakan masalah anda itu. Campurkan serbuknya ke dalam sup atau gaulkan bersama bubur nasi.

Kulit luar biji lada hitam pula mengandungi zat yang membantu pelangsingan.


Buah Pelaga


Sangat berkesan dalam membantu mengatasi masalah perut yang tidak selesa khususnya bagi yang menghadapai masalah angin dalam perut. Juga bermanfaat membantu proses detoksifikasi. Aroma panas di dalamnya juga membantu mempertingkatkan aliran darah.


Moga Bermanfaat

Sumber: Majalah Rapi


Hafid Sulaiman
FB Page: Kesihatan Adalah Anugerah

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...