Thursday 17 March 2016

Sumber Antioksidan


 
Kebanyakan sayuran dan buah-buahan merupakan antioksidan yang kuat. Jika anda makan, pastikan meja atau pinggan hidangan anda mempunyai pelbagai warna makanan. Bagi seorang lelaki yang merokok, anda dinasihatkan untuk mengambil lebih antioksidan
 
 
Badan kita menghasilkan antioksida dengan sendirinya, tetapi apabila usia kita meningkat, kebolehan badan untuk menghasilkan antioksida akan berkurangan.

Oleh yang demikian, kita memerlukan antioksida daripada sumber luaran. Antioksida terdapat secara semula jadi dalam buah-buahan, sayur-sayuran dan juga makanan-makanan lain termasuklah kekacang, bijirin, ayam, sesetengah daging dan ikan. 
 

Bahan antioksida termasuklah beta karotena, lutein, likopena (lycopene). selenium, vitamin C dan vitamin E. 
 

Sumber Antioksidan

 
Sumber antioksida yang selalu ditemui adalah:

Beta karotena


Beta karotena adalah prekursor bagi vitamin A (retinol). Ia lazimnya ditemui dalam kebanyakan makanan yang berwarna oren atau jingga seperti aprikot, lobak merah, labu, mangga, ubi keledek, dan buah pic. Ia juga terdapat dalam sayur-sayuran berdaun hijau termasuklah bayam dan brokoli.
 

Lutein


Lutein sering kali dikaitkan dengan mata yang sihat. Ia terdapat dalam kuantiti yang banyak dalam sayur-sayuran berdaun hijau seperti bayam, kubis dan kailan. Kombinasi lutein dengan zeaxantin dan buah bilberi boleh memberi kesan antioksida yang signifikan. Tambahan lagi, apabila digabungkan dengan vitamin C, kombinasi antioksida ini telah menunjukkan hasil yang signifikan dalam mengurangkan risiko mendapat penyakit katarak.
 

Likopena (Lycopene)


Likopena adalah antioksida yang efektif yang ditemui dalam betik, jambu batu, tembikai, tomato, aprikot, limau gedang, dan buah oren.
 
 

Selenium


Selenium adalah mineral dan merupakan komponen bagi enzim antioksida. Ia bukanlah nutrient antioksida. Di kebanyakan negara, tumbuhan makanan seperti nasi dan gandum merupakan sumber utama. Selenium yang digabung dengan glutathione boleh menghentikan tumbesaran tumor dan melindungi hati. 
 
Sesetengah kacang seperti kacang Brazil mengandungi kandungan selenium yang tinggi.

Vitamin C


Vitamin C, yang juga dikenali sebagai asid askorbik, merupakan vitamin larut air. Vitamin C adalah antioksida yang ditemui dalam buah-buahan citrus dan jusnya, bayam, brokoli, kiwi, strawberi, kranberi, kubis dan lada hijau. Ia juga terdapat dalam bijirin, daging, ayam, dan ikan. 
 
Para penyelidik telah mendapati bahawa jus kranberi boleh meningkatkan tahap antioksida serta tahap kolesterol baik dalam darah, maka ia boleh membantu untuk mengurangkan risiko mendapat penyakit jantung.

 

Vitamin E


Vitamin E yang juga dikenali sebagai alfa-tokoferol (alpha-tocopherol) dan terdapat dalam pelbagai jenis minyak termasuklah minyak germa gandum, minyak jagung dan minyak kacang soya. 
 
Ia juga ditemui dalam apricot, brokoli, kekacang, mangga dan makanan-makanan lain. Peningkatan pengambilan vitamin E boleh membantu untuk mengurangkan risiko mengalami penyakit Parkinson. 
 
Selain itu, kombinasi vitamin A, vitamin E dan karotenoid boleh menambah baik pertahanan oksida dan sistem imunisasi. Vitamin E (untuk kumpulan tocotrienol sahaja) juga menunjukkan aktiviti antikanser yang signifikan.
 
Jika anda ingin membeli produk supplement Vitamin E, pastikan ia juga mengandungi mineral Selenium untuk meningkatkan keberkesanannya.

Moga Bermanfaat
 
Hafid Sulaiman
 
Rujukan: MyHealth
 
 




No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...