Adakah anda mengalami urat berpintal atau urat bersimpul? Runsing apabila urat biru kelihatan pada bahagian betis dan kaki? Walaupun sebahagian orang yang mengalaminya tidak berasa sakit, namun ia menjadi masalah dari sudut kecantikan kaki. 
Urat berpintal atau Vena Varikos (Vericose Vein) berlaku apabila vena (salur darah yang membawa balik darah kurang beroksigen dari bahagian badan yang lain ke jantung dan paru-paru) menjadi tebal dan membesar. Disebabkan pembesaran tersebut, ia kelihatan membiru atau ungu serta berpintal dan akan terkeluar sedikit dari bahagian kulit seakan menggelembung.
Di sini, saya kongsikan satu tulisan yang saya ambil daripada Utusan, tentang masalah Vena Verikos atau urat simpul ini.
Tulisan ini ditulis oleh Dr Jamaludin Yusak.
Sumber: Utusan Online 
Vena Varikos Pada Kaki
Pergerakan darah di dalam badan manusia adalah melalui dua saluran 
iaitu arteri atau saluran nadi yang mengalirkan darah dari jantung ke 
seluruh badan, dan vena (vein) atau pembuluh darah yang membawa darah 
dari seluruh badan balik ke jantung.
Aliran darah di dalam arteri mempunyai tekanan kuat dan deras berdasarkan kekuatan degupan jantung seseorang. 
Manakala pengaliran darah di dalam vena adalah lebih lemah 
berdasarkan pergerakan otot-otot anggota badan dan juga otot kecil yang 
terdapat di dalam dinding vena sendiri.
Apabila seseorang itu berdiri, darah akan berkumpul dengan banyak di 
bahagian kaki akibat dari kesan tarikan bumi dan tekanan aliran darah 
yang rendah.
Perjalanan darah di dalam vena menjadi lancar dan tidak berkumpul di kaki melalui pergerakan otot-otot anggota badan.
Selain itu, otot kecil yang terdapat di dalam dinding vena turut 
mengepam darah kembali ke jantung dan terdapat juga injap-injap di dalam
 vena yang menghalang darah kembali ke bahagian kaki (mengalir 
songsang).
Sistem pengaliran darah vena di kaki dibahagi kepada dua iaitu, vena
 luaran (saphenous vein) yang mengalir di bawah permukaan kulit dan vena
 dalaman (deep vein) yang mengalir berhampiran tulang dan otot.
Vena varikos (vericose Vein)
Varikos adalah daripada perkataan Latin yang bermakna berpintal, yang memberi gambaran vena yang berpintal dan bergelembung. 
Varikosa boleh berlaku di beberapa bahagian badan dan diberi nama 
tertentu seperti oesophageal varices jika berlaku di saluran makan, 
varicocele di dalam zakar dan buasir di dubur. 
Vena varikos adalah istilah yang digunakan apabila fenomena ini 
berlaku di kaki. Pada asasnya vena varikos berpunca daripada peningkatan
 tekanan darah di dalam vena yang terlalu tinggi. Ini menyebabkan 
kerosakan pada sistem injap vena dan melemahkan dinding vena hingga 
menghasilkan vena yang bergelembung dan berpintal.
Pada kebiasaannya, vena varikos berlaku pada sistem vena luaran (saphenous vein) di satu atau kedua-dua belah kaki. 
Ia kelihatan seperti gerombolan urat yang membonjol pada sebelah 
dalam paha dan kaki dari bahagian pangkal paha hingga ke buku lali. Ada 
juga vena varikos berlaku pada vena kecil di bawah kulit dan ia 
menyerupai kaki labah-labah berwarna merah atau biru. Ini dipanggil 
telangectasis.
![]()  | 
| Kredit: varicoseveins.org | 
Punca dan Risiko
Punca dan risiko berikut boleh menyebabkan peningkatan tekanan dalam vena:
- Keturunan: Keadaan semulajadi di mana terdapat kekurangan injap atau kelemahan pada injap dan dinding vena.
- Umur: Mengikut kajian, vena varikos kerap berlaku di kalangan umur 
40 hingga 49 tahun. Ini mungkin disebabkan kerosakan pada injap dan 
dinding vena yang berpunca dari pelbagai sebab dalam kehidupan harian.
- Berdiri terlalu lama: Ini berlaku di kalangan mereka yang kerap 
berdiri terlalu lama seperti tentera dan polis, pekerja kilang, 
jururawat dan sebagainya.
- Gemuk berlebihan: perut yang buncit menyebabkan halangan pada aliran darah dalam vena ke jantung.
- Kehamilan: Vena varikos berlaku masa kehamilan akibat daripada 
tekanan rahim yang membesar menghalang aliran darah dalam vena ke 
jantung, atau kesan daripada hormon estrogen dan progesteron yang 
melemahkan dinding vena.
- Trauma kecederaan melibatkan vena, terutamanya di kaki.
- Darah beku dalam vena: Ini kerap berlaku di kalangan mereka yang terbaring lama akibat penyakit dan sebagainya.
- Penyakit-penyakit lain yang menyebabkan naiknya tekanan dalam vena.
 Ini termasuklah penyakit hati seperti cirrhosis, lemah jantung, air 
dalam perut (ascitis).
Tanda dan Simptom
Kebanyakan pengidap vena varikos tidak merasa sebarang masalah walaupun pada kaki mereka terdapat vena varikos.
Sebahagian mereka yang mengidap vena varikos mempunyai simptom berikut:
- Bengkak kaki
- Kaki terasa berat, tidak selesa, berdenyut dan hangat.
- Kerap terkena kejang otot.
- Rasa gatal di sekitar vena yang terlibat.
- Perubahan warna kulit yang bertambah gelap terutama berhampiran buku lali.
- Kudis di buku lali yang sukar baik.
Komplikasi Vena Varikos
Penyakit vena varikos biasanya tidak banyak mendatangkan mudarat sekiranya ia tidak diabaikan.
Apabila diabaikan, tekanan darah dalam vena akan bertambah tinggi 
sehingga menyebabkan darah mendak di kaki dan aliran darah lembap. 
Keadaan ini akan mengakibatkan kaki bengkak dan pesakit susah untuk berjalan.
Darah yang mendak ini mengandungi aras karbon dioksida dan produk 
racun yang tinggi dari metabolisma tisu di samping aras oksigen yang 
rendah. 
Untuk jangka pendek ia menyebabkan pesakit kerap merasa kekejangan otot dan gatal pada kulit.
Akibat aliran darah yang amat perlahan di bahagian kaki, banyak sel 
darah yang akan pecah menyebabkan zat besi (ferum) meresap ke tisu 
mengakibatkan warna kulit bertukar lebih gelap atau kehitaman. 
Apabila resapan ini bertambah teruk, darah tidak dapat mengalir ke 
bahagian kulit menyebabkan terjadinya kudis atau ulser yang kronik. 
Ulser ini tidak mudah disembuhkan jika masalah vena varikos tidak diatasi lebih dahulu.
Prosedur mengesan Vena Varikos
Buat permulaan, doktor akan membuat pemeriksaan fizikal dengan 
pesakit dalam keadaan berdiri, untuk pastikan jika pesakit menghidapi 
vena varikos. 
Walaupun tidak sukar untuk mengenalpasti penyakit ini, doktor perlu 
membuat beberapa lagi ujian fizikal untuk pastikan kedudukan injap yang 
rosak.
Pemeriksaan doppler membolehkan pakar bedah mendengar aliran darah dalam vena kaki. 
Ia juga dapat mengesan sebarang kerosakan pada injap dan boleh 
memastikan sistem vena dalaman berfungsi dengan baik sekiranya 
pembedahan hendak dilakukan pada vena luaran.
Pemeriksaan Venografi menggunakan x-ray setelah vena kaki dimasukkan 
cecair kontras pula jarang digunakan sekarang kerana ia boleh 
menimbulkan komplikasi seperti darah beku dan thrombophlebitis.
Rawatan
Tidak semua pesakit vena varikos memerlukan rawatan agresif seperti pembedahan, terutamanya jika ia vena varikos yang kecil. 
Tujuan rawatan adalah untuk mengurangkan simptom dan juga mengelakkan komplikasi.
Rawatan permulaan selalunya berbentuk konservatif dan ia memerlukan 
kerjasama pesakit menjayakan rawatan agar vena varikos yang kecil tidak 
bertambah teruk dan berkomplikasi.
Rawatan Konservatif
1. Memakai stokin. Kini terdapat pelbagai stokin untuk merawat vena 
varikos. Stokin boleh memberi tekanan kompresi antara 18-50 milimeter 
Merkuri (mmHg). Kompresi ini boleh membantu mengimbangi tekanan dan isi 
padu darah dalam vena.
2. Membuat senaman, terutamanya berjalan jaki.
3. Mengurangkan berat badan bagi mereka dengan berat badan berlebihan.
4. Elakkan berdiri atau duduk yang terlalu lama.
5. Apabila berehat, pesakit digalakkan meninggikan aras kaki lebih 
tinggi dari aras jantung untuk melancarkan aliran darah kembali ke 
jantung.
6. Kini terdapat ubatan yang boleh membantu melancarkan perjalanan 
darah dalam vena. Walau bagaimanapun, keberkesanannya di kalangan kes 
vena varikos terus atau yang berkomplikasi adalah terhad.
Prosedur rawatan lanjut
Untuk kes vena varikos yang teruk, berkomplikasi atau atas sebab 
kosmetik (akibat rupa kulit kaki yang hodoh) terdapat beberapa prosedur 
berikut yang boleh dilakukan oleh doktor.
1. Sclerotherapy: Doktor akan menyuntik ubatan cecair khas bertujuan 
mematikan vena yang bermasalah, Ini berkesan sekiranya dilakukan dengan 
teknik yang betul. Kesilapan suntikan boleh menyebabkan kesakitan yang 
amat dan menghasilkan kudis (ulser) yang sukar sembuh.
2. Rawatan cahaya laser: Ini digunakan untuk merawat telangiectasis dan vena varikos yang kecil di bahagian muka atau kaki.
3. Rawatan photoderm: Rawatan ini menggunakan katheter yang 
dimasukkan ke dalam saluran vena. Alat khas di hujung katheter akan 
mengeluarkan haba panas yang mematikan vena yang bermasalah.
4. Stripping: Prosedur ini menggunakan wayar panjang khas yang 
dimasukkan ke dalam vena saphenous dari buku lali ke pangkal paha, dan 
kemudiannya ditarik keluar kesemua vena terbabit.
5. High ligation: Pembedahan ini dilakukan pada pangkal paha di mana 
vena saphenous diikat dan sambungan antara vena femoral dan vena 
saphenous diputuskan.
6. Avulsion: Melalui beberapa pembedahan kecil di kulit kaki, vena 
varikos ditarik keluar sedikit demi sedikit sehingga tiada bonjolan vena
 varikos yang ketara. Selalunya pembedahan ini ditambah dengan prosedur 
high ligation untuk mendapat hasil rawatan yang lebih berkesan.
Moga Bermanfaat
FB Page: Kesihatan Adalah Anugerah 


No comments:
Post a Comment