Thursday, 20 October 2016

Adab Makan: Makan Dengan Tangan Kanan



Makan dan minumlah dengan tangan kanan. Jangan sekali-kali anda makan dengan tangan kiri!! Jika anda benar-benar mengakui bahawa syaitan itu musuh anda, berusahalah untuk tidak termakan dengan tipu daya syaitan. Jika anda makan dengan tangan kiri, anda telah mengikut perbuatan syaitan.

Dan jika anda tahu bahawa anda wajib makan dengan tangan kanan, namun anda dengan sengaja makan dengan tangan kiri, ketahuilah bahawa perbuatan ini adalah disebabkan kesombongan anda dan anda meremeh remehkan kebenaran.


Anda mungkin memandang ia adalah perkara kecil, namun besar kesannya di dalam kehidupan seorang muslim yang beriman kepada Allah dan Rasul serta mengakui bahawa syaitan adalah musuh.

Mari kita sama-sama lihat beberapa petunjuk Nabi Salla Allah 'alayh wa sallam tentang perkara ini.


Petunjuk Nabi Tentang Makan Dengan Tangan Kanan


Hadith adab makan dan minum (1)


Dari Abdullah bin ‘Umar radiallahu anhuma bahawa Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam bersabda:

إِذَا أَكَلَ أَحَدُكُمْ فَلْيَأْكُلْ بِيَمِيْنِهِ، وَإِذَا شَرِبَ فَلْيَشْرَبْ بِيَمِيْنِهِ، فَإِنَّ الشَّيْطَانَ يَأْكُلُ وَيَشْرَبُ بِشِمَالِهِ

“Jika seseorang antara kalian makan, maka hendaklah dia makan dengan tangan kanannya. Jika dia minum maka hendaklah juga minum dengan tangan kanannya. Kerana syaitan makan dengan tangan kirinya dan minum dengan tangan kirinya,” (HR. Muslim no. 2020)
 

Hadith adab makan dan minum (2)


Dari ‘Umar bin Abi Salamah radiyallahu anhu dia berkata: Dahulu aku adalah anak kecil yang berada di bawah asuhan Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam. Ketika makan, tanganku berpindah-pindah ke sana kemari di atas piring. Maka baginda bersabda kepadaku:

يَا غُلاَمُ، سَمِّ اللهَ وَكُلْ بِيَمِيْنِكَ وَكُلْ مِمَّا يَلِيْكَ

“Wahai anak, sebutlah nama Allah, makanlah dengan tangan kananmu, dan makanlah yang ada di dekatmu.” (HR. Al-Bukhari no. 5376 dan Muslim no. 2022)
 

Hadith adab makan dan minum (03)


Rasulullah Sallallah 'alayh wa sallam mendoakan keburukan bagi mereka yang tidak mahu makan dengan tangan kanan.

Salamah bin Al-Akwa’ radiyallahu anhu dia berkata:

أَنَّ رَجُلاً أَكَلَ عِنْدَ رَسُوْلِ اللهِ بِشِمَالِهِ فَقَالَ: كُلْ بِيَمِيْنِكَ. قَالَ: لاَ أَسْتَطِيْعُ. قَالَ: لاَ اسْتَطَعْتَ.  مَا مَنَعَهُ إِلاَّ الْكِبْرُ، فَمَا رَفَعَهَا إِلَى فِيْهِ

“Ada seorang lelaki yang makan di sisi Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam dengan tangan kirinya. Maka Rasulullah bersabda, “Makanlah dengan tangan kananmu!” Dia menjawab, “Aku tidak boleh.” Baginda bersabda, “Semoga kamu tidak boleh?” - padahal tidak ada yang mencegah dia makan dengan tangan kanan kecuali kerana sombong-. Setelah itu dia tidak boleh mengangkat tangannya sampai ke mulutnya.” (HR. Muslim no. 2021)

Perkara yang kita rasa kecil, tetapi janganlah sekali-kali kita meremehkannya. Berusaha untuk kita kelihatan berbeza dengan musuh kita.

Moga Allah memberikan kita hidayah dan taufiq untuk amalkan perintah Allah dan Rasul.

Moga Bermanfaat
 
Hafid Sulaiman
Pengedar Shaklee

 

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...