Friday 7 October 2016

Masih Ada Yang Tidak Mampu Dibeli



Kita duduk memikirkan sejenak mengenangkan kehidupan, apa erti kejayaan dan kebahagiaan di dalam kehidupan.

Ramai orang yang salah sangka mengenai kejayaan, kebahagiaan dan ketenangan di dalam kehidupan.

Ramai orang yang menganggap bahawa duit yang banyak, kekayaan yang melimpah merupakan faktor bagi kejayaan dan kebahagiaan yang sebenar.


Jika diberikan pilihan kepada manusia untuk memilih sama ada kekayaan atau kebahagiaan, pasti ramai yang memilih kekayaan. Kerana menganggap kekayaan boleh membawa kebahagiaan.

Bahkan banyak perkara yang kita boleh lakukan dan mendapat ganjaran pahala dengan kekayaan yang kita miliki.

Begitu juga dengan duit yang banyak, kita mampu membeli apa sahaja yang melambangkan kekayaan. Kereta yang mahal, rumah yang besar, isteri yang cantik, makanan yang beraneka jenis, ladang yang luas, pakaian yang berkualiti dan macam-macam lagi.

Namun, apa yang perlu kita sedari bahawa ALLAH itu Maha Kaya dan Maha Adil.

Walau sekaya manapun seseorang itu, belum tentu dengan kekayaan yang dimiliki mampu membeli apa sahaja yang dikehendaki.

Dengan duit berjuta, adakah seseorang itu mampu membeli kesihatan jika dia sakit.

Mampu membayar kos perubatan yang tinggi, di hospital yang terbaik dengan doktor-doktor pakar yang terbaik. Belum tentu dia sihat jika Allah tidak izinkan.

Sebahagian orang, ada yang terpaksa menunggu giliran berbulan-bulan lamanya untuk melakukan pembedahan di hospital kerajaan, dengan kos yang rendah, fasiliti yang terhad, dan Allah kurniakan kepadanya kesembuhan.

Ya, manusia tidak boleh beli kesihatan dan kesembuhan.

Dengan duit berjuta, adakah seseorang itu mampu membeli zuriat.

Mampu membeli 5-6 buah rumah mewah, namun ianya kosong daripada tangisan, jeritan, hilai tawa anak-anak yang berlari ke sana sini.

Boleh menginap di hotel yang mewah, tilam yang berjenama, bantal yang terbaik, bilik yang berhawa dingin dan pelbagai kemudahan lain, namun belum tentu dia mampu tidur lena.

Kerana pakej yang dibeli tidak termasuk dengan tidur lena.

Mungkin manusia yang bergelandangan, tidur di atas kotak, berbantal lengan, berbumbungkan awan, lebih lena tidurnya daripada si kaya tadi.

Masih ada yang tidak mampu dibeli.

Kebahagiaan di dalam kehidupan.

ALLAH memberikan kebahagiaan. Mintalah pada DIA.

Hafid Sulaiman

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...