Thursday 7 May 2015

Apabila Kolesterol Jahat Mengatasi Kolesterol Baik



Sebut sahaja kolesterol, apa yang akan terbayang di fikiran hanyalah sesuatu yang buruk. Namun, ia sebenarnya bukanlah seperti yang difikirkan. Kolesterol adalah sejenis lemak (disebut sebagai lipid) yang diperlukan oleh tubuh untuk bekerja dengan baik. Badan anda boleh menghasilkan kolesterol dan juga mendapatkannya daripada sumber makanan.


Kolesterol dihasilkan di hati, korteks adrenal dan usus. Kolesterol ini berfungsi untuk menghasilkan hormon dan membentuk membran sel. Ia dibawa ke seluruh badan manusia melalui plasma darah. Ia bermanfaat untuk penghasilan hormone seks, vitamin D, fungsi otak dan saraf.

Manusia memerlukan 1100 mg kolesterol per hari untuk memelihara dinding sel dan fungsi fisiologis lain.

Umum mengetahui bahawa adanya kolesterol baik (High Density Lipoprotein - HDL) dan kolesterol jahat (Low Density Lipoprotein - LDL). Ketidakseimbangan antara 2 jenis kolesterol ini akan menatijahkan sesuatu yang buruk. Dan kadang-kadang ia tidak memberikan apa-apa tanda atau gejala sehingga boleh menyebabkan kematian.

Apa Yang Berlaku Di dalam Tubuh Manusia


LDL mengangkut kolesterol dari hati dan membawanya ke sel-sel tubuh seperti sel-sel otot jantung. LDL dianggap sebagai kolesterol jahat kerana menyebabkan kolesterol melekat pada dinding pembuluh darah.


Sedangkan HDL membawa kembali lebihan kolesterol ke hari dan seterusnya diuraikan lalu dibuang ke dalam hempedu sebagai asid hempedu.

Selain itu HDL mengganggu proses pengumpulan kolesterol LDL di dinding arteri. Itulah sebabnya HDL disebut sebagai kolesterol baik kerana mampu membersihkan lebihan kolesterol dari dinding pembuluh darah dengan membawa kembali ke hati. Dengan demikian HDL mencegah atherosklorosis pada arteri atau pembuluh darah.

Awas Si Pembunuh


Bagi orang kurus, rutin senaman dan tidak merokok membantu kadar kolesterol baik cenderung tinggi dan sebaliknya bagi mereka yang obesiti.

Namun, ini tidak bererti orang yang kurus itu mudah untuk berpuas hati. Ini kerana kolesterol merupakan lemak dalam darah bukan pada kulit. Oleh itu, orang yang kurus boleh sahaja memiliki kolesterol tinggi.

Bagi perempuan, hormone estrogen meningkatkan kadar kolesterol baik. Oleh itu, kadar kolesterol baik lebih tinggi daripada lelaki. Maka kerana itu, kebanyakan kes serangan jantung berlaku kepada lelaki dan perempuan yang menapous ketika hormone estrogen berkurangan.

Masalah Jantung


Kolesterol jahat yang mengandungi lebih banyak lemak mengembang di dalam darah. Kesannya akan menyebabkan kerosakan sel-sel jantung dan mengganggu fungsi mengepam darah oleh jantung. Penimbunan lemak pada pembuluh darah jantung menyebabkan pembekuan pembuluh darah dan mengakibatkan protein-protein yang bersifat jahat.

Kesan berikutnya menyebabkan keradangan pembuluh darah jantung dan penyakit jantung koroner.

Selain itu, masalah ini dapat dilihat melalui gejala-gejala tertentu seperi sakit dada atau ketidakselesaan iaitu rasa sakit pada bahagian betis apabila berjalan pada jarak tertentu.

Stroke atau mini stroke juga boleh berlaku apabila darah beku atau pendarahan (salur darah pecah) di bahagian tertentu otak. Ini menyebabkan bahagian otak yang terlibat akan hilang fungsi dan kelumpuhan anggota berlaku.

Semakin bertambah usia, timbunan lemak juga semakin meningkat. Ditambah pula pada usia sebegitu dengan gaya hidup yang buruk akan merangsang penyakit lain seperti tekanan darah tinggi, diabetis dan lain-lain.



Awasi tahap kolesterol anda. Lakukan dan amalkan apa yang sepatutnya dilakukan untuk mendapatkan kesihatan yang optimum. Anda mampu melakukannya.

Hafid Sulaiman
FB Page: Kesihatan Adalah Anugerah


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...