Friday 22 May 2015

Iman Membuahkan Akhlak





Sebagai supplement rohani, pada hari jumaat ini, jom hayati tentang keimanan kepada kehidupan selepas kematian. Di dalam al-Quran, banyak tempat yang menyebut tentang kedahsyatan hari Kiamat. Kedahsyatan dan kegemparan ini tidaklah bermaksud untuk melemahkan semangat manusia dan motivasi diri terhadap kehidupan dunia. Bahkan sebagai orang yang beriman, hari akhirat menjadi pemangkin kepada kejayaan dunia dan akhirat. Iman Membuahkan Akhlak.


Kalam Ilahi


Firman Allah: 


Dan bahawa sesungguhnya hari kiamat itu tetap akan datang, tidak ada sebarang syak padanya, dan bahawa sesungguhnya Allah akan membangkitkan (menghidupkan semula) orang-orang yang di Dalam kubur. (Al-Haj: 7)



Kemudian (ketahuilah bahawa) apabila ditiup sangkakala dengan sekali tiup, - dan bumi serta gunung-ganang diangkat (dari tempatnya) lalu dihancurkan keduanya dengan sekali hancur, - maka pada saat itu berlakulah hari kiamat, - dan terbelahlah langit, lalu menjadilah ia pada saat itu reput (dan runtuh) (Al-Haqqah: 13-16).


Kalam Nabi


Nabi Muhammad Salla Allah ‘alayh wa Sallam berkata:


عَنْ شَدَّادِ بْنِ أَوْسٍ، عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، قَالَ: «الكَيِّسُ مَنْ دَانَ نَفْسَهُ وَعَمِلَ لِمَا بَعْدَ المَوْتِ، وَالعَاجِزُ مَنْ أَتْبَعَ نَفْسَهُ هَوَاهَا وَتَمَنَّى عَلَى اللَّهِ» هَذَا حَدِيثٌ حَسَنٌ
“Orang yang bijaksana adalah orang yang memuhasabah dirinya dan berbuat amal untuk (sebagai bekalan) selepas mati. Manakala orang yang lemah ialah sesiapa yang menuruti hawa nafsunya, tetapi bergantung harap pula kepada Allah.



عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «مَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَاليَوْمِ الآخِرِ فَلْيَقُلْ خَيْرًا أَوْ لِيَصْمُتْ، وَمَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَاليَوْمِ الآخِرِ فَلاَ يُؤْذِ جَارَهُ، وَمَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَاليَوْمِ الآخِرِ فَلْيُكْرِمْ ضَيْفَهُ» رواه البخاري ومسلم
Siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhir, maka hendaklah dia berkata baik atau diam, dan siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhir, hendaklah dia tidak menyakiti jirannya, dan siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhir, hendaklah ia memuliakan tetamunya.


Iman Membuahkan Akhlak


Baginda Salla Allah ‘alayh wa Sallam mengaitkan keimanan dan tingkah laku. Kedua-duanya mesti beriringan. Akidah yang sempurna bukanlah dibuktikan dengan kemahiran menyusun hujah yang kuat agar menang dalam perdebatan, bukan juga dengan kemampuan menjawab “peperiksaan akidah”. Semua ini terkeluar daripada akidah yang wajib dikuasai oleh seorang muslim.  Akan tetapi, akidah yang benar adalah suatu kepercayaan kepada Allah dan sifat-sifatNya lalu dibuktikan dengan perlakuan luhur dan berhati-hati di dalam berkata.

Keyakinan terhadap peristiwa yang akan terjadi pada masa depan, merupakan kandungan penting risalah baginda. Siapa yang percaya dan mula mempersiapkan diri, maka dia akan selamat, dan barang siapa yang mendustakannya  atau menerimanya sambil lewa, maka ia tidak akan mampu menyelamatkan dirinya.

Pengajaran


Beberapa sikap yang mesti lahir sebagai buah daripada pokok iman kepada hari akhirat:


  • Selalu menyedari pengawasan Allah di atas setiap kata-kata dan kelakuan. Dia selalu membayangkan hari-hari di mana akan ditegakkan timbangan, disebarkan lembaran-lembaran amal dan manusia akan berjalan beramai-ramai dalam kumpulan sama ada ke syurga atau neraka.
  • Membetulkan sikap. Seseorang yang meyakini bahawa pada suatu hari nanti, dia akan berdiri di hadapan Allah untuk dihisab, pasti terdorong untuk membaiki sikapnya. Dia akan bersegera melakukan kebaikan walaupun harus berkorban apa sahaja dan meninggalkan keburukan dengan sepenuh tenaga.
  • Seimbang bekerja untuk dunia dan akhirat.
  • Imannya semakin mendalam terhadap keadilan Allah.
  • Sentiasa bersangka baik dengan Allah. Setiap kejadian di dalam kehidupan pasti ada hikmah yang sebahagiannya kita tak ketahui.



Salam Jumaat.

Hafid Sulaiman

 
 

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...