Bersediakah Kita Melalui Titian Sirat. Berjalan
di atas titian sirat yang terbentang di atas Neraka dan berakhir di syurga
adalah suatu yang pasti dilalui oleh setiap manusia. Ia berlaku setelah manusia
melalui proses hisab dan timbangan amal.
Digambarkan
oleh pembawa risalah Allah, bahawa manusia meniti di atas titian yang di
bawahnya ada jilatan api yang menyala-nyala, sambaran duri atau penyangkuk
tajam dari neraka dan manusia akan melaluinya berdasarkan amalannya di dunia.
Jika
seseorang itu jatuh dikait atau pun tergelincir, maka neraka adalah tempat
tinggalnya untuk suatu tempoh yang telah ditetapkan oleh Allah.
Kalam Nubuwwah
Dalam
sebuah hadis panjang, Rasulullah Salla Allah ‘alayh wa sallam bersabda:
... وَيُضْرَبُ الصِّرَاطُ بَيْنَ ظَهْرَيْ جَهَنَّمَ، فَأَكُونُ أَنَا وَأُمَّتِي أَوَّلَ مَنْ يُجِيزُ، وَلَا يَتَكَلَّمُ يَوْمَئِذٍ إِلَّا الرُّسُلُ، وَدَعْوَى الرُّسُلِ يَوْمَئِذٍ: اللهُمَّ سَلِّمْ، سَلِّمْ، وَفِي جَهَنَّمَ كَلَالِيبُ مِثْلُ شَوْكِ السَّعْدَانِ، هَلْ رَأَيْتُمُ السَّعْدَانَ؟ " قَالُوا: نَعَمْ يَا رَسُولَ اللهِ قَالَ: " فَإِنَّهَا مِثْلُ شَوْكِ السَّعْدَانِ غَيْرَ أَنَّهُ لَا يَعْلَمُ مَا قَدْرُ عِظَمِهَا إِلَّا اللهُ، تَخْطَفُ النَّاسَ بِأَعْمَالِهِمْ، فَمِنْهُمُ الْمُؤْمِنُ بَقِيَ بِعَمَلِهِ، وَمِنْهُمُ الْمُجَازَى حَتَّى يُنَجَّى ..
"...Dan diletakkan sebuah jambatan (sirat) di atas
Neraka Jahannam, Maka aku dan umatku menjadi orang pertama yang meniti di
atasnya. Tidak ada yang berkata-kata pada hari itu kecuali para rasul.
Rasul-rasul berdoa pada hari itu: 'Ya Allah, selamatkan, selamatkan.' Di kanan
kirinya ada pengait-pengait seperti duri pokok Sa'dan. Pernahkah kalian melihat
duri pokok Sa'dan?" Para sahabat menjawab: "Pernah wahai Rasulullah."
Baginda melanjutkan: "Sesungguhnya pengait itu seperti
duri pokok Sa'dan, namun hanya Allah yang tahu besarnya. Maka ramai manusia
yang disambar dengan pengait itu sesuai dengan amal perbuatannya di dunia. Di
antara mereka ada yang dibinasakan kerana amalannya, di antara mereka ada yang
terjatuh lalu diselamatkan..." (Hadith riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Keimanan
kepada perkara ini merupakan satu kewajipan dan ia menjadi sebahagian daripada
akidah mukmin.
Setiap
muslim seharusnya menjadikan pegangan akidah ini sebagai kompas dunia untuk
meraik kejayaan di akhirat.
Manusia perlu sedar bahawa Sirat
di Akhirat ini wujud hasil daripada titian (jalan) hidup yang kita pilih selama
tinggal di dunia. Kita meminta siratulmustaqim (jalan yang lurus) di
dalam solat kita. Sesiapa yang memilih jalan Allah, sambil berpegang teguh
dengan syariat Islam, maka sirat di Akhirat ini akan mudah dilalui untuk
tiba ke Syurga idaman.
Gambaran Berkenaan Sirat
Para
sahabat Nabi Salla Allah ‘alayh wa sallam pernah bertanya kepada baginda,
"Wahai Rasulullah, bagaimanakah sirat
itu?"
قَالَ: " مَدْحَضَةٌ
مَزِلَّةٌ
Baginda menjawab: "Ia adalah sebuah
jalan yang sangat licin, sangat susah untuk berdiri di atasnya." (Riwayat
Al-Bukhari)
Kewujudan Sirat adalah akidah
ulama Ahlus Sunnah secara ijmak. Adapun Sirat sebagai jambatan Jahannam (جسر جهنم) adalah menurut pegangan majoriti ulama
Ahlus Sunnah
Namun, riwayat-riwayat berkaitan sifat Sirat
yang menyebut ‘lebih halus dari rambut dan lebih tajam dari pedang’ adalah
tidak diterima zahirnya secara sepakat di sisi mereka, di samping kedaifan
sebahagian jalan-jalan riwayatnya. Justeru, kemungkinan ada kelonggaran di situ
sepertimana takwilan sebahagian ulama Ahlus Sunnah di atas.
Imam al-Nawawi menyebutkann: “suatu
jambatan di atas matn (puncak) Jahannam yang akan dilalui di atasnya oleh
manusia seluruhnya” adalah takrif majoriti ulama Ahlus Sunnah.
Sirat ialah Jambatan Jahannam.
Hakikat Sirat sebagai jambatan Jahannam (جسر جهنم) adalah berdasarkan banyak hadis-hadis
yang menyebutkan demikian. Kalimah ini diriwayatkan dari ramai sahabat,
meskipun matan-matan hadisnya berbeza-beza, di antara sahih dan daif.
Justeru,
ibarat (جسر جهنم)
ini telah diikuti oleh majoriti ulama Islam dan menerimanya secara hakiki,
bukan majazi. Antaranya, Imam Al-Bukhari di dalam kitab Sahihnya telah memberi
judul bab (الصراط جسر جهنم), iaitu Sirat ialah
jambatan Jahannam.
Antara
matannya, dari riwayat Abu Hurairah:
وَيُضْرَبُ جِسْرُ جَهَنَّمَ قَالَ
رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَأَكُونُ أَوَّلَ مَنْ
يُجِيزُ "...
Dan
diletakkan (direntang) jambatan Jahannam, Rasulullah Salla Allah ‘alayh wa
sallam bersabda: Akulah orang yang mula-mula akan melintasinya ...".
Imam
al-Bukhari juga meriwayatkan hadis lain Abu Hurairah:
فَيَدْعُوهُمْ فَيُضْرَبُ
الصِّرَاطُ بَيْنَ ظَهْرَانَيْ جَهَنَّمَ فَأَكُونُ أَوَّلَ مَنْ يَجُوزُ مِنْ
الرُّسُلِ بِأُمَّتِهِ “…
Allah
kemudian memanggil mereka, lalu dibentangkanlah Sirat di atas neraka
Jahannam. Maka akulah orang pertama yang akan melewatinya dari kalangan para
rasul bersama umatnya ...”.
Sirat Itu Lebih Halus Dari Rambut Dan Lebih Tajam Dari Pedang
Adapun
jambatan itu lebih halus dari rambut dan lebih tajam dari pedang (أَدَقُّ مِنْ
الشَّعْرَةِ وَأَحَدُّ مِنْ السَّيْفِ), atau sebahagian
maknanya yang hampir sama. Terdapat beberapa riwayat tentang hal ini.
Imam
al-Bayhaqi menyatakan bahawa ibarat ini tidak ditemukan dalam riwayat-riwayat
yang sahih. Mungkin ia bermaksud ibarat dengan isim tafdhil tersebut kerana
gurunya, al-Hakim ada meriwayatkan seumpama maknanya tetapi dengan lafaz (كحد السيف),
yakni seperti ketajaman pedang, dari ‘Abdullah bin Mas’ud, dan katanya: Sahih,
serta disepakati oleh al-Zahabi.
Dan
dengan lafaz (مثل حد الموسى), yakni seperti
ketajaman pisau cukur, dari Salman al-Farisi, dan katanya: Sahih menurut syarat
Muslim.
Riwayat-riwayat
ini dan lain-lainnya dapat saling kuat menguatkan. Imam al-Nawawi telah
menyebut dalam Syarah Sahih Muslim bahawa ia adalah pandangan golongan Mutakallimun
dari kalangan ulama-ulama Syafi’iyyah dan juga selain mereka dari
kalangan para Salaf.
Menurut
Imam al-Ghazali (w. 505H), ia bukannya suatu yang mustahil bagi qudrat Allah
SWT. (al-Iqtisad fi al-I‘tiqad).
Al-Bayhaqi
membawakan kata-kata al-Halimi yang membawa maksud bahawa “lebih halus dari
rambut dan lebih tajam dari pedang” itu adalah tamsilan (kinayah, simbolik)
terhadap senang dan susah bagi melintasi Sirat serta kepatuhan para
malaikat dalam menjalankan tugas mereka.
Demikian
juga pendapat ‘Izzuddin bin ‘Abd al-Salam, al-Qarafi dan Badruddin al-Zarkasyi,
sepertimana yang disebut oleh Syeikh Ibrahim al-Bajuri dalam Syarh Jawharah
al-Tawhid tanpa sebarang komentar terhadapnya.
Pandangan
Ulama Ahli Sunnah Wal-Jamaah Kewujudan Sirat adalah akidah Ahli Sunnah
Wal-Jamaah secara ijmak, namun tidak semua membahaskannya secara detail.
Ramai
ulama Ahli Sunnah Wal-Jamaah yang membincangkan tentang Sirat mentakrifkan
Sirat sebagai:
جسر ممدود على متن
جهنم يرده الخلق كافة أدق من الشعرة وأحد من السيف
“Sebuah
jambatan yang terbentang di atas perut neraka Jahannam, yang akan dilalui oleh
seluruh makhluk, ia lebih halus daripada rambut dan lebih tajam daripada
pedang”.
Ada ulama yang mentakrifkan Sirat
sepertimana di atas, tetapi tanpa menggandingkan di dalam takrifnya sifat
“lebih halus daripada rambut dan lebih tajam daripada pedang”.
Beramallah
Imam Abu Tahir al-Qazwini berkata, "Setiap
orang yang biasa berjalan di titian agama, maka ia akan sangat mudah melintasi
sirat di Akhirat. Sesiapa yang tidak biasa melaluinya, maka ia akan menemui
kesulitan berjalan di atasnya. Kakinya akan tergelincir dan ia akan menyesal
selama-lamanya. Titian sirat ini tidak lain adalah sebuah kewujudan daripada
sirat maknawi (di dunia)."
Hadith Nabi Salla Allah ‘alayh wa sallam
menggambarkan
فَيَمُرُّ الْمُؤْمِنُونَ كَطَرْفِ الْعَيْنِ، وَكَالْبَرْقِ، وَكَالرِّيحِ، وَكَالطَّيْرِ، وَكَأَجَاوِيدِ الْخَيْلِ وَالرِّكَابِ، فَنَاجٍ مُسَلَّمٌ، وَمَخْدُوشٌ مُرْسَلٌ، وَمَكْدُوسٌ فِي نَارِ جَهَنَّمَ
"Maka berlalu orang Mukmin dalam
sekelip mata, seperti kilat, seperti angin, seperti burung, seperti kuda pacu dan
seperti jalannya unta. Maka di antara mereka ada yang selamat, ada juga yang
tersangkut lalu diselamatkan dan ada juga yang terjatuh dalam Neraka
Jahannam." (Hadith riwayat Muslim)
Dalam riwayat Imam Hannad bin as-Sarri
daripada Ibn Mas'ud, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, "Lalu
seperti orang yang berlari, lalu seperti orang yang berjalan. Ada juga yang
berjalan dengan merangkak menggunakan perutnya. Ia berkata, 'Ya Tuhan, kenapa
Engkau lambatkan aku?' Maka dijawab, 'Aku tidak melambatkanmu, tetapi amal perbuatanmu
sendiri yang melambatkan dirimu.'"
Justeru
itu, marilah kita beramal dengan sebaik-baik amalan. Pastikan titian yang bakal
kita lalui nanti di akhirat, akan membawa kita terus ke dalam syurga Allah,
tempat idaman bagi semua orang.
Moga
perkongsian ini memberikan kita pengajaran untuk menjadikan kehidupan kita
lebih baik lagi. Maka persiapkanlah diri kita.
RUJUKAN:
Susunan
Hafid
Sulaiman
Jika sendiri menilai amalan...memang xbersedia untuk melalui titian sirat ini. Semoga kita semua dipermudahkan...amin
ReplyDeleteAmin.. semoga dipermudahkan.. Saling tolong menolong dan mengingati..
Delete