Monday, 14 July 2014

Jangan Jadi ‘Pak Pandir’ Di Bulan Ramadan



Jika di Tanah Arab, kisah Juha yang bijak, pandai bermain kata-kata, sarat dengan pengajaran tentang kehidupan sering dijadikan bahan cerita masyarakat.

Di Tanah Melayu, kisah Pak Pandir sangat menjadi perhatian. Saya nukilkan coretan di bawah untuk pengajaran kita bersama…

Lihat watak Pak Pandir, kisah lelaki lurus bendul ala-ala ‘Mr Bean Kampungan’, padat dengan kebodohan. Ceritanya telah berdikir dalam masyarakat Melayu sejak sekian lama.

Namun, malangnya, cerita bersiri seperti drama ‘telenovela’ tersebut tidak berupaya mengubah sikap masyarakat agar menjadi cemerlang.

Kita hanya melihatnya sebagai cerita sendal buat meledak ketawa kepada telatah si dungu. Mari hadamkan satu cerita buat renungan bersama.

Pak Pandir dan Mak Andih berada di tepian sungai pada suatu pagi. Seperti biasa mak Andih tekun membasuh baju dan Pak Pandir meneman. Pak Pandir menghabiskan masa dengan mandi, menyelam dan berenang hilir mudik.

Indahnya pagi dengan air sejuk yang mengalir dari gunung. Kedengaran bunyi kecebur air, percikan besar dan ombak beriak-riak melayan keseronokan Pak Pandir. Sedang Pak Pandir leka, tiba-tiba Mak Andih melaung:

‘Abang, Cepat kejar, ada batang pisang hanyut!!!.”
Di tengah sungai kelihatan sebatang pokok pisang hanyut mengikut arus sungai. Pak pandir tanpa berlengan menunjukkan skil kuak lentang, bergegas berenang mendapatkan batang pisang tersebut. Dengan sengih menyeringai, dia berjaya mendaratkan pokok pisang di tepi tebing persis penyelamat 911.

“Abang kita boleh tanam pisang ini, tak payah beli pisang pada jiran lagi.” Ujar Mak Andih mencadangkan.
Dahi Pak Pandir berkerut, wajahnya bendung, mulutnya muncung, hatinya geutu.

Kita tanam sama-sama!” tingkah Pak Pandir. Neuronnya berdetak-detak meng’impuls’ sesuatu.
“Saya ambil bahagian atas pokok, kamu ambil bahagian bawah,” cadang Pak Pandir, terdengan arahan kuasa veto sang suami, membahagi dua aset dan memecah tugasan.
Mak Andih sangat setuju. Mereka menanam bahagian masing-masing. Pak Pandir menanam bahagian atas yang telah lengkap berdaun hijau menjulang langit. Mak Andih pula menanam perdu kontot. 

Hari demi hari, tunggul pisang Mak Andih kelihatan bertunas dan keluar pulur baru. Sedang pokok pisang rendang Pak Pandir perlahan sujud menyungkur bumi, mereput dan benyek.

Di akhir cerita, ketika tirai diturunkan, Mak Andih gembira melihat hasil sementara Pak Pandir berduka nestapa…

Tamat!!!

Mari kita melihat apa sebenarnya ada di dalam minda Pak pandir apabila memberi cadangan ntuk mengambil bahagian atas pokok pisang.

Kenapa Pak Pandir begitu dungu sehingga tidak tahu perkara asas tentang menanam pokok. Apa rasionalnya?

Sebenarnya Pak Pandir bukan seorang yang sangat bebal, tetapi Pak Pandir tahu kalau dia menanam bahagian perdu pisang itu, nanti dia terpaksa berulang ke kebun bagi menggembur tanah, membuang rumput, membersihkan kawasan, sehinggalah kepada menjaga sehingga pisang berbuah, kemudian memungut hasilnya. Oh, itu semua banyak sekali, ia akan mengganggu jadual rehat dan tidur yang enak.

Dia bukan bodoh. Malas membuatkan dia mengeluarkan idea bodoh demi mengelat. Orang malas rela dianggap bodoh, dilihat tidak kreatif dan tidak inovatif semata-mata mempertahankan kemalasan dalam dirinya. Orang malas sebenarnya cerdik, kreatif, inovatif dalam membuat alasan bodoh.

Tamat nukilan.

Dinukilkan daripada buku R&R Di Lebuh Raya Kehidupan oleh Ustaz Zul Ramli.

=================
Ramadan Oh Ramadan

Orang malas sebenar cerdik untuk membuat alasan bodoh.

Penyakit malas merupakan punca lemahnya individu dan masyarakat.

Ramadan al-Mubarak menjelma dengan seribu satu kelebihan yang sepatutnya direbut oleh semua orang.

Namun sikap malas dengan memberikan alasan yang kreatif lagi inovatif menjadikan manusia mensia-siakan kelebihan ini.

Bulan Ramadan umpama sebuah pasar raya yang sangat besar yang menawarkan jualan pada harga yang cukup rendah dan mampu milik. Dan anda juga ditawarkan dengan hadiah percuma yang pelbagai.

Bukan itu sahaja, jalan-jalan utama yang menuju ke pasar raya ini telah diberi keutamaan tanpa ada sekatan trafik. Anda boleh melaluinya dengan memandu lebih daripada 120km/j, tanpa lampu isyarat, tanpa polis yang akan saman anda, parking yang sangat selesa, kemudahan yang pelbagai dan macam-macam lagi.

Namun masih ada lagi manusia-manusia yang mencipta alasan yang kreatif di sebalik kemudahan yang ada.

Adakah kita tidak tahu tentang tawaran menarik sepanjang bulan Ramadan?
Kita bukannya tidak tahu tapi malas untuk merebutnya.

Gunakanlah kecerdikan, kekreatifan dan inovasi pada tempat yang betul.

“Ya Allah, Kami berlindung dengan Mu daripada sifat lemah dan malas”.

Hafid Sulaiman.
16 Ramadan 1435H.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...