Friday, 4 July 2014

Jangan Mandulkan Akal dan Jantung Hati


Semua manusia ingin mencapai kecemerlangan. Manusia dilahirkan secara fitrah semula jadinya suka kepada harta dan kenikmatan dunia. Dengan fitrah inilah manusia mula merancang, berusaha dan bekerja untuk memenuhi fitrahnya yang inginkan harta, keselesaan dan ketenangan. Atas faktor inilah, orang yang bukan Islam, malah tidak beragama pun berjaya membina kemajuan dan pembangunan. Mereka tidak memandulkan akal dan jantung hati mereka.

Namun di sebalik semua ini, ada faktor kedua yang juga telah mencetuskan kemajuan dan kecemerlangan manusia.

Faktor itu adalah agama, yang bermula dengan perutusan kitab-kitab suci dan datangnya para Rasul yang muncul silih berganti.

Para rasul walaupun misi utamanya membetulkan akhlak manusia dengan akidah yang benar tetapi mereka juga membawa peraturan yang mengandungi sistem, undang-undang yang menyuburkan dan menyelamatkan tamadun material dan rohani manusia.

Agama memberi nilai kepada kehidupan.


Agama membantu mengurus akal dan jantung hati manusia untuk memberi nilai kepada kehidupan.

Islam datang melalui perantaraan Nabi Muhammad Salla Allah ‘alayh wa sallam, memberikan panduan melalui al-Quran dan al-Sunnah.

Al-Quran dan al-Sunnah mengajar manusia untuk menggunakan akal dengan sebaiknya.

Ia mengajar umat manusia supaya tidak memandulkan akal dan jantung hati manusia.

Peringatannya jelas dinyatakan bahawa antara golongan yang banyak menghuni neraka dan berada dalam kalangan orang yang  rugi adalah mereka yang memandulkan jantung hati, yang membutakan mata dan yang memekakkan telinga sendiri.

Merekalah orang-orang yang rugi.

Pada zaman manusia yang mengejar kecemerlangan hidup di dunia, terdapat segolongan manusia yang menjadi lebih teruk daripada binatang ternakan.

Mereka memandulkan akal dan jantung hati mereka untuk berfikir dan menelaah baik dan buruk sesuatu perkara.

Cepat dan segera.


Sekarang semua perkara hendak dilakukan dengan cepat.

Teknologi yang dicipta semuanya memudahkan kerja harian manusia.

Perhubungan manusia hanya di hujung jari sahaja. Tidak kira malam atau siang, semua manusia boleh bekerja untuk mendapat kejayaan dan kecemerlangan di dunia.

Dari mana datangnya teknologi yang memudahkan manusia ini???

Tahukah kita bagaimana asalnya sesuatu itu sehingga akhirnya berkembang menjadi sesuatu yang memudahkan urusan harian manusia???

Bagaimana diciptakan kapal terbang, kereta, komputer, internet, dan semua benda yang dikatakan kejayaan manusia di dalam tamadun serba material ini..

Mengimbas kembali tamadun kegemilangan umat Islam suatu ketika dahulu, bagaimana terbina binaan yang semuanya mempunyai nilai di dalam agama. Binaan dan teknologi yang dibangunkan membantu manusia untuk menjadi hamba kepada Allah.

Lihat sahaja apa yang dilakukan di Andalus, Granada, Sevilla, Toledo dan bandar-bandar lain yang dibangunkan atas tujuan membantu manusia menjadi hamba Allah.

Taman-taman yang indah mengingatkan kepada syurga Allah. Ukiran-ukiran di dinding tidak kosong untuk membuat manusia terus berfikir dan menghayati kehidupan. 

Ia tidak memandulkan akal dan jantung hati manusia.

Agama membantu manusia menguruskan kehidupan.

Persoalan dan Muhasabah


Saya masih lagi ingin membincangkan tema blog ini iaitu tentang kesihatan dan apa yang kita makan.

Jangan mandulkan akal dan jantung hati kita dan anak-anak kita daripada melihat apa yang kita makan.

Di dalam al-Quran, Allah menempelak golongan kufur supaya melihat dan berfikir tentang makanan yang mereka makan. Rujuk surah ‘Abasa.

Merekalah golongan yang memandulkan akal dan jantung hati mereka sehingga kufur kepada Allah.

Adakah kita juga mahu digolongkan dalam kalangan mereka???

Ya.. Itu situasinya. Zaman beubah.

Pada zaman dahulu, makanan tidak dipersoalkan tentang kesedapan dan khasiatnya.

Ini kerana makanan yang sedap atau tidak, pasti berkhasiat. Semuanya terbaik dari ladang.

Dan pada zaman yang penuh dengan teknologi dan cara pemikiran yang ingin memudahkan manusia, maka wujudlah makanan-makanan ‘sampah’ (junk food) yang sedap.

Mana yang menjadi pilihan anda… Yang SEDAP atau yang BERKHASIAT???

Yang sedap itu mudah. Mata kita tertarik, nafsu kita kata mahu, rasanya sedap… Ok, boleh makan.

TAPI jika kita mencari yang berkhasiat, maka kita terpaksa menggunakan akal dan jantung hati kita untuk membuat keputusan dan menilai.

Agama menyuruh kita menilainya.

Pertama, kita akan membuat penilaian daripada mana datangnya hidangan ini. Apakah bahan-bahan yang digunakan untuk memasak hidangan tersebut? Organik ke tidak.? Gula dan garam banyak mana? Apakah rempah ratus yang digunakan? Adakah bahan-bahan yang digunakan memberikan manfaat kepada tubuh badan kita? Dan mungkin banyak lagi persoalan tentang asal hidangan tersebut.

Kedua, cara memasak atau proses sebelum dijadikan hidangan tersebut. Adakah dengan teknik kukus, bakar, panggang, goreng, dipanaskan di dalam microwave, berapa suhu yang digunakan, berapa lama ia dimasak? Bagaimana bahan tadi dipotong? Semua itu mungkin diambil kira supaya mendapat sesuatu yang berkhasiat. Setiap satu proses memasak tersebut memberikan kesan yang berlainan terhadap hidangan, sama ada berkhasiat atau tidak.

Penting ke semua ini?

Kalau kita rasa tak penting, janganlah terkejut jika suatu hari nanti generasi akan datang tidak mengetahui daripada mana asalnya hidangan yang mereka makan.

Tahu itu hidangan ayam goreng KFC, namun tidak tahu binatang ayam itu macam mana rupanya.

Makan burger daging di McD, tapi tidak tahu asalnya daripada lembu yang makan rumput di tepi jalan.

Makan kentang goreng A&W, tapi tidak tahu di mana asalnya ia di tanam.

Minum air Pepsi dan Coca Cola, tapi tidak tahu apa kandungannya.

SEBAB APA… Sebab kita telah memandulkan akal dan jantung hati kita.

Jangan sampai satu masa nanti apa yang dimakan tidak tahu mana asal usulnya dan tidak tahu pula nak memasaknya.

Semua sudah tersedia di kedai, boleh dibeli dan terus di makan.

Kenapa kita ‘mandul’? Sebab kita ada penyakit BODOH dan SOMBONG.

Kemandulan yang menyebabkan kita menjadi hina.

Terima kasih kerana membaca perkongsian ini.

Jadilah manusia ulul al-Albab.


Hafid Sulaiman



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...