Thursday, 17 July 2014

Sirap Ros dan Kopi O Pekat


Awal tahun 90-an, apabila ada kenduri perkahwinan, sanak saudara berkumpul, yang jauh dari kota pulang ke desa. Berkumpul untuk bergotong royong menjayakan kenduri.

Dulu-dulu, kalau ada kenduri di kampung, antara minuman yang menjadi pilihan untuk hidangan adalah sirap ros merah dan kopi O pekat.
Namun zaman berubah, minat juga berubah. Watak berubah dan sikap juga berubah.

Kini, sirap ros dan kopi O pekat yang menjadi pilihan dulu sudah berubah dengan minuman pilihan yang pelbagai.

Kalaulah kenduri itu dibuat oleh tauke jual air di pasar malam, pilihan minumannya sangat meriah. Kalau ada 12 jenis warna, semua warna minuman itu ada.

Dulu, orang lebih minat sirap dan kopi O pekat, sekarang minat itu berubah.

Namun apabila difikirkan kembali, sebenarnya sirap ros, kopi O pekat, laici kang, ABC, cendol, oren, sarsi, bandung, teh, jagung dan minuman lain yang pelbagai warna, semuanya menjadi sedap sebab satu benda asas iaitu gula.

Tanpa gula dan pemanis rasa semua tidak ada rasa. Hilang selera.

ABC yang menarik dengan pelbagai warna tapi tiada gula pemanis rasa, pasti akan hilang ke’ABC’annya.

Gula adalah kehidupan. Boleh manis tapi jangan terlebih manis. Banyak manis nanti menangis.

Rasailah semua


Minat boleh berubah. Kita boleh merasai semua yang ada di hadapan kita. Nak itu, nak ini.

Namun kehidupan mestilah mengikut ciri yang sama.

Janganlah kita terlampau gilakan kopi O pekat dan sirap ros sehingga tidak mahu mencuba yang lain.

Ya, lagi banyak kita merasa lagi, luas pengalaman kita.

Kadang-kadang kita takut untuk keluar daripada zon selesa kita sehingga tidak mahu mencuba sesuatu yang baru.

Sesuatu yang baru memberikan pengalaman yang baru.

Itulah kehidupan kita.

Dalam mengubah kehidupan kita, jangan pula diubah prinsip kehidupan kita di dalam agama.

Keimanan kita kepada Tuhan menjadi asas kita membuat pilihan dalam merasai kehidupan.

Mencuba sesuatu yang baru tanpa ada iman di dalam hati menyebabkan kita boleh tergelincir.

Anak panah jika tidak dilepaskan daripada busurnya, tidak akan mengena sasarannya.

Air yang bergenang lama tidak mengalir, akan busuk akhirnya.

Harimau yang tidak mahu keluar memburu, hanya akan mati kelaparan.

Manusia yang tidak mahu berubah, masih di takuk lama, akan menjadi manusia yang membatu keras dan tidak berguna.

Seorang mukmin apabila dia membuat perubahan, akan berubah juga suasana sekeliling.

Pengalaman di dalam kehidupan di sepanjang perubahan yang dilakukan mematangkan manusia untuk merentasi perjalanan yang pendek di dunia mencari bekal untuk perjalanan yang panjang menuju ALLAH.

Kita mengharapkan kejayaan yang manis di dalam kehidupan, tetapi kita tidak berusaha ke arah itu. Ketahuilah, sesungguhnya bahtera itu tidak boleh belayar di atas daratan.

 ===========
Terbang biar sampai ke awan biru..
Tapi jangan lupa pulang untuk menjenguk sarang…

Kerana di situlah kita mula jatuh dan bangun,
Ketika sayap ilmu masih kering kontang.

Di situlah juga guru telah menyuapkan ilmu,
Untuk menjadi bekal di masa hadapan.

Jadilah seperti helang,
Yang tidak pernah lupa,
Untuk pulang ke sarangnya apabila senja menjelma.

Jangan jadi seperti kupu-kupu,
Yang lupa kepada kepompong,
Yang mengandungkannya selama ia diperlukan.

Jangan lupa kepompong RAHMAT ALLAH.
Jangan jadi Melayu mudah lupa.
Jangan jadi hamba yang lupa kepada Tuhannya,
Yang menganugerahkan kita nikmat yang tidak terhingga.

Ya Allah, aku ini tersangatlah fakir jika nak dibandingkan dengan nikmat yang Engkau berikan.

Hafid Sulaiman

Ramadan 1435H.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...