Friday, 28 November 2014

Merenung Kembali Apa Yang Telah Disediakan Untuk Hari Yang Pasti Tiba



Sering kali kita mendengar kata-kata indah ini: “Hisablah dirimu, sebelum kamu dihisab”. Kata-kata ini mengajak kita semua merenung kembali apa yang telah disediakan untuk hari yang pasti tiba. Apakah persediaan kita untuk bertamu pada hari yang pasti tiba agar tidak ada penyesalan pada hari yang tidak lagi memberikan manfaat penyesalan itu.


Hari Yang Pasti Tiba


Boleh jadi hari yang pasti tiba itu adalah hari yang kita tunggu-tunggu.

Boleh jadi juga hari yang pasti tiba itu adalah hari yang kita hendak elakkan, namun akhirnya kita terpaksa juga berhadapan dengannya.

Anda seorang pelajar, jika anda telah bersedia sepenuhnya untuk berhadapan dengan hari peperiksaan yang pasti tiba, maka sudah pasti anda akan melalui hari tersebut dengan penuh keyakinan. Namun jika anda tidak mempunyai persediaan yang cukup, mampukah anda berhadapan dengan hari tersebut.

Anda seorang pemain bola sepak. Jika anda tidak bersedia berhadapan dengan lawan anda, apakah anda rasa anda akan melalui dengan tenang hari yang telah ditetapkan untuk perlawanan tersebut. Anda hanya mendapat penghinaan dan cercaan walaupun anda dipandang hebat pada awalnya.

Anda diminta datang untuk ditemuduga pada satu tarikh yang telah ditetapkan, namun apabila telah sampai masanya, anda masih lagi belum bersedia sepenuhnya untuk ditemuduga. Adakah anda rasa anda boleh melalui hari tersebut dengan tenang.

Hari Yang Pasti Tiba Untuk Dilalui Oleh Semua Orang.


Setiap manusia akan melalui hari-hari yang pasti ini. Hari kematiannya, hari-hari di dalam kubur, hari-hari di Mahsyar, hari-hari di Hisab, di Mizan, di Titian Sirat dan akan hidup kekal selama-lamanya sama ada di syurga dan atau neraka.

Hari-hari selepas kita meninggalkan dunia ini adalah hari-hari yang pasti akan kita lalui. Yang pastinya hari-hari tersebut lebih lama berbanding hari-hari yang kita tinggalkan di atas pentas dunia.

Renungkan sebentar, kekasih kita Baginda Nabi Salla Allah ‘alayh wa sallam yang telah meninggalkan kita, sudah berada di alam barzakh lebih daripada 1400 tahun. Apatah lagi Nabi Adam yang telah berabad-abad lamanya meninggalkan kita. Berapa lama kita terpaksa berada di alam barzakh menunggu kiamat besar yang menghancurkan bumi. Sudah pasti lebih daripada umur kita di bumi.

Di alam barzakh yang pasti tiba, kita akan bertemu dengan 2 malaikat yang sangat bengis rupanya bertanyakan soalan. Dan setiap hari kita akan diperlihatkan tempat berakhirnya kehidupan kita sama ada syurga atau neraka.

Kubur ialah tempat akhirat yang pertama, jika kita selamat di sini, maka tempat-tempat berikutnya akan dilalui dengan lebih mudah.

Renungkan juga berapa tahun lagikah akan berlakunya kiamat. Mungkinkah 100 tahun, 200 tahun, 1000 tahun. Allah sahaja yang tahu. Tapi ia pasti akan tiba.

Selepas berlakunya kiamat, berapa tahun lagi kita terpaksa menunggu dan berdiri di padang Mahsyar. Mungkinkah 300 tahun, mungkinkah 50,000 tahun.. Dalam keadaan bersesak-sesak dengan manusia yang hidup sejak zaman Nabi Adam a.s. dengan pelbagai rupa dan bentuk. Hanya Allah sahaja yang tahu.

Itu baru sahaja menunggu dan berkumpul di padang mahsyar. Belum lagi proses hisab dan timbangan amal. Dan seterusnya.

Saat menunggu yang panjang. Kadang-kadang kita yang menunggu bas yang tak kunjung tiba pun sudah seperti cacing kepanasan. Mulalah mencari sesuatu untuk dilakukan. Mencari air, makanan, mencari surat khabar dan majalah bagi menghilangkan rasa kebosanan.

Apa Yang Memudahkan Kita Untuk Berhadapan Dengan Hari Yang Pasti Ini


Tidak lain dan tidak bukan persediaan kita akan memudahkan kita berhadapan dengan hari yang pasti ini.

Bersyukurlah kepada Allah kerana masih lagi memberikan kita peluang untuk merenung dan menghisab diri kita

Ibn al-Jawzi meriwayatkan bahawa seorang ulama tabi’in yang bernama Tawbah bin al-Muallim sedang bermuhasabah diri. Dia mengira dan menghitung berapa lamakah dia sudah hidup di dunia. Dia mengira usianya sudah mencapai 59 tahun. Lalu dia mengira dalam hitungan hari. Ternyata ia telah hidup selama 21500 hari. Lalu dia berkata: “Duhai celakalah diriku!!! Aku akan menemui Allah dengan membawa 21500 dosa (jika satu hari dia melakukan satu dosa). Bagaimana mana pula rasanya jika aku berdosa sebanyak 20000 kali dalam satu hari???” Lalu dia pengsan dan tidak lama kemudian dia meninggal dunia.

Merenung kembali persediaan kita untuk hari yang pasti tiba, sudah pastinya banyak kekurangan. Perlunya kita berusaha dengan lebih lagi untuk menyempurnakan apa yang kurang.

Menyesallah sekarang jika terdapat banyak lompong-lompong kosong selagi penyesalan itu masih lagi bermanfaat di dunia. Apabila kita telah berpindah ke alam lain pada satu hari yang pasti, penyesalan sebesar manapun pasti tidak akan memberikan manfaat lagi.

Abu Hurayrah meriwayatkan bahawa Rasulullah salla Allah ‘alayh wa sallam bersabda yang bermaksud:

Setiap yang meninggal dunia pasti menyesal”. Para sahabat bertanya: “ Menyesal atas apa, Ya Rasulullah?” Baginda menjawab: “Jika dia orang yang baik, dia menyesal kerana tidak menambah kebaikannya. Jika dia orang jahat, dia menyesal kerana tidak berhenti daripada kejahatannya.” (HR al-Tirmidhi).

Moga Bermanfaat Untuk Diri Ini

Akhukum Fillah

Hafid Sulaiman




No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...