Monday, 3 November 2014

Oppo Piala Malaysia: Pahang Kalahkan JDT


1 November 2014, Pahang mempertahankan kejuaraan Piala Malaysia dengan mengalahkan juara Liga Super 2014, JDT melalui penentuan sepakan penalti selepas tamat masa penuh dan masa tambahan. Pahang yang bermainan dengan 10 orang selepas 70 minit masa permainan berjaya mengikat kedudukan seri 2-2 dan memenangi penentuan sepakan penalti dengan 5-3. Kejayaan Pahang kalahkan JDT ini, menunjukkan bagaimana fokus, kekuatan mental, taktikal dan kerjasama berpasukan pasukan Pahang menjadikan mereka layak menjadi juara.


Barisan Pemain Bintang.


JDT yang dibarisi barisan pemain bintang dilihat gagal mengambil kesempatan menjaringkan gol kemenangan walaupun bermain dengan kelebihan seorang pemain. 2 pemain utama yang digantung sedikit sebanyak merencatkan permainan JDT. Dilihat Pahang seringkali menyerang dan tidak hilang fokus seumpama mereka masih lagi bermain dengan 11 orang pemain.

Larian-larian kencang Gopinathan, penguasaan bahagian tengah oleh pasukan Pahang dan benteng pertahanan yang baik memberikan kelebihan kepada Pahang untuk kekal bersaing dengan mempertahankannya sehingga tamat masa tambahan. Gol penyamaan mudah yang dihasilkan cukup membuatkan pengendali JDT kecewa dan berang.

JDT juga kurang bernasib baik apabila 2 cubaan pemain import mereka digagalkan oleh tiang gol. Gol-gol pasukan Pahang dijaringkan oleh Nwakame (2 gol), manakala Diaz dan Fergeruo pula untuk JDT.

Bagi saya, kerancakan perlawanan diganggu dengan keadaan padang yang kurng memuaskan. Anda sendiri dapat lihat di kaca TV, bagaimana rumput yang bernilai jutaan ringgit itu sangat mudah tercabut. KJ kena cuba buat "terjahan keras" ke atas padang pula. Lebih utama daripada menyepak bendera.

Insiden Kad Merah.


Insiden kad merah dirakam jelas oleh kamera dan dapat dilihat di kaca TV. Poyeng tidak harus melakukan kekasaran yang boleh merencatkan strategi pasukan Pahang. Namun penonton di TV, jelas nampak bahawa insiden itu dimulakan oleh Amri Yahyah sendiri. 

JDT gagal memanfaatkan peluang bermain 11 orang untuk mengasak bertalu-talu. Seakan-akan fokus mereka telah hilang lebih-lebih lagi Amri Yahyah yang jarang mendapat bola selepas insiden kad merah.

Penentuan Sepakan Penalti.


Tamat masa tambahan, penentuan sepakan penalti digunakan untuk menentukan juara. 4 orang pemain pertahanan Pahang berjaya menjaringkan gol sebelum sepakan diambil oleh Nor Shahrul Idlan Talaha atau Mat Yo. Mat Yo pemain tempatan pertama yang mengambil sepakan penalti bagi JDT.  Khairul Azhan membuat telahan tepat sehingga berjaya menepis sepakan penalti Mat Yo.  Sepakan ke 5 oleh Hafiz Kamal berjaya menerjah jaring menewaskan Al-Hafiz yang memberikan kejuaraan Piala Malaysia 2014 kepada Pahang.

Mat Yo Punca Kekalahan?


Kegagalan Mat Yo menjaringkan penalti menjadi punca kekalahan kepada JDT menjadi bualan. Buka sahaja di internet, ramai yang menyalahkan pemain berstatus bintang dan berharga ini. Ramai yang mempersendakan beliau dengan mengungkit kisah lama. Semuanya adalah luahan kekecewaan peminat yang begitu inginkan kemenangan JDT. Mat Yo yang gagal menjaringkan gol juga pasti paling kecewa. Tidak lupa juga, siapa yang membuat keputusan memilih Mat Yo juga perlu dipersalahkan kerana tidak membuat analisis kemampuan Mat Yo menyepak penalti sebelum ini.

Namun, perlu diingat bukan senang untuk mengambil sepakan penalti. Beckham, Messi, Roonie, Ronaldo dan mana-mana pemain berstatus bintang dan antarabangsa juga pernah gagal menjaringkan gol penalti. Perkara biasa gol penalti gagal dihasilkan apabila penjaga gol membuat telahan yang tepat atau kesalahan daripada pemain sendiri yang sepakannya tersasar.

Sedikit mengenai Mat Yo ini, banyak kontroversi berlaku ke atas beliau. Mat Yo adalah pemain yang hebat. Namun apabila bersama JDT, dia jarang diturunkan sepenuh masa dan sebagai pemain dan penyerang kebangsaan, kelibatnya seharusnya dipertontonkan dan banyak bermain serta diberi keutamaan. Bukannya memanaskan bangku simpanan. Ini penting untuk memastikan Mat Yo konsisten di dalam permainannya. Tidak kurang juga ramai peminat yang memintanya supaya berhijrah pada musim depan supaya lebih banyak aksinya dipadang dapat dipertontonkan. Terpulang kepada Mat Yo untuk membuat keputusan demi masa depannya. Jika dilihat, ramai juga pemain yang berkualiti yang terpaksa memanaskan bangku simpanan kerana saingan yang hebat.

Pertandingan Selesai, Anda Bagaimana?


Pahang telah menjuarai Piala Malaysia, dan anda pula bagaimana? Bola sepak adalah sukan. Sukan adalah untuk anda hidup sihat. Pertandingan telah selesai, namun tugas anda untuk terus bersukan demi kesihatan harus diteruskan.

Anda janganlah jadi penyokong sukan sahaja, tetapi anda juga harus bersukan. Anda bersukan bukannya untuk menjadi juara bagi sesuatu pertandingan, bersukanlah untuk menjadi juara dalam kesihatan.

Anda bersukan, anda sihat. JOM SIHAT.

Tahniah kepada pasukan Pahang dan juga penyokong mereka. Jumpa lagi untuk musim akan datang…

Nukilan Penonton Bola Sepak Di Kaca TV:


Hafid Sulaiman…..

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...