Friday 11 December 2015

Hakikat Insan Di Dalam Al-Quran

Apabila meneliti ayat-ayat al-Quran yang menggunakan kalimah al-Insan, sebahagiannya akan dihubungkan dengan sesuatu yang berbentuk negatif. Ia adalah merupakan sifat semula jadi manusia. Allah memperingatkan manusia agar tidak mengekalkan sifat ini dalam diri agar terselamat daripada kemurkaan dan azab Allah.
Allah membentangkan sifat ini kepada insan, agar setiap diri mengambilnya sebagai satu peringatan. Jika sikap dan tabiat ini wujud di dalam diri insan, maka bersegeralah untuk berubah.

Hakikat Insan Di Dalam Al-Quran


Dikemukakan di sini beberapa terjemahan (pemahaman) ayat al-Quran yang menunjukkan hakikat manusia itu sendiri, antaranya:

1.    Manusia bersifat lemah:

Allah (sentiasa) hendak meringankan (beban hukumNya) daripada kamu, kerana manusia itu dijadikan berkeadaan lemah. (Surah al-Nisa’ (4): 28)

2.    Bersifat putus asa dan kufur nikmat

Dan demi sesungguhnya! Jika Kami rasakan manusia sesuatu pemberian rahmat dari Kami, kemudian Kami tarik balik pemberian itu daripadanya, mendapati dia amat berputus asa, lagi kufur terhadap nikmat. (Surah Hud (11): 9)

3.    Zalim dan kufur nikmat

Dan ia telah memberi kepada kamu sebahagian dari tiap-tiap apa jua yang kamu hajati. dan jika kamu menghitung nikmat Allah nescaya lemahlah kamu menentukan bilangannya. Sesungguhnya insan (yang ingkar) sangat suka menempatkan sesuatu pada bukan tempatnya (zalim), lagi sangat tidak menghargai nikmat Tuhannya. (Surah Ibrahim (14): 34)

4.    Bersifat terburu-buru

Dan manusia berdoa dengan (memohon supaya ia ditimpa) kejahatan sebagaimana ia berdoa dengan memohon kebaikan, dan sememangnya manusia itu (bertabiat) terburu-buru. (Surah al-Isra’ (17): 11)

5.    Selalu berbantah

Dan Demi Sesungguhnya Kami telah huraikan Dengan berbagai-bagai cara di dalam Al-Quran ini untuk umat manusia, dari segala jenis contoh bandingan; dan sememangnya manusia itu, sejenis makhluk yang banyak sekali bantahannya. (Surah al-Kahfi (18): 54)

6.    Zalim dan jahil.

Sesungguhnya Kami telah kemukakan tanggungjawab amanah (Kami) kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya); dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya. (ingatlah) Sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara-perkara yang tidak patut dikerjakan (jahil). (Surah al-Ahzab (33): 72)

7.    Resah gelisah (bakhil dan kedekut)

Sesungguhnya manusia itu dijadikan bertabiat resah gelisah (lagi bakhil kedekut) (Surah al-Ma’arij (70): 19)

8.    Insan Itu di dalam kerugian

Demi Masa. Sesungguhnya insan itu di dalam kerugian. (Surah al-‘Asr (103): 1-2)

Berdasarkan perihal beberapa keadaan seseorang insan yang dinyatakan oleh al-Quran di atas, maka seseorang individu itu perlu mengenali apakah sikap yang ada di dalam diri mereka yang menghalang mereka untuk menjadi insan yang cemerlang. Ini merupakan peringatan dan ancaman daripada Allah s.w.t. kepada manusia supaya berubah agar tidak terjerumus ke lembah kehinaan yang berkekalan. Kaedah untuk berubah itu pula, juga dinyatakan oleh Allah di dalam al-Quran sebagai khabar gembira kepada manusia supaya berusaha untuk merebut ganjaran yang dijanjikan berupa kemuliaan yang berkekalan.

Moga Bermanfaat

Hafid Sulaiman

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...