Saturday 5 December 2015

Lelaki Jangan Abaikan Tanda-Tanda Masalah Kesihatan Ini





Kanser adalah masalah kesihatan di peringkat sel. Sel yang rosak dan semakin membesar memberikan kesan kepada kesihatan. Sering kali masalah ini dikesan ketika sudah merebak dan teruk dan kadang-kadang tidak memberikan gejala pun. Dalam kalangan lelaki, antara kanser yang sering berlaku adalah kanser paru-paru, kanser kolon, kanser tekak dan kanser prostat.

Dilaporkan bahawa lebih 2,000 lelaki di Malaysia disahkan menghidap kanser paru-paru setiap tahun, menjadikan penyakit itu sebagai 'musuh' utama kaum lelaki di negara ini.

Lelaki seharusnya tidak mengabaikan sebarang kelainan yang berlaku ke atas kesihatan mereka. Tindakan segera membantu anda untuk mengelakkan risiko yang lebih besar.

Saya kongsikan di sini, beberapa perkara yang boleh dijadikan panduan.

Jangan Abaikan Tanda-Tanda Ini


Merasa Sakit Atau Sukar Membuang Air Kecil

Lazimnya kedua-dua tanda ini merujuk kepada kanser prostat. Selain itu, aliran kencing yang lemah juga adalah antara puncanya. Jika anda makin kerap bangun pada waktu tengah malam untuk membuang air kecil, nampaknya anda harus segera bertemu dengan doktor. Perhatikan juga jika tiba-tiba adanya darah di dalam air kencing


Bengkak Pada Testis

Bengkak yang terjadi di dalam testis, tidak kira berapa pun saiznya, lazimnya adalah tanda kanser testis. Lelaki harus melakukan ujian pada skrotum dan testis mereka setiap bulan yang dipanggil ‘testicular self exam’.

Rasa Sakit Pada Pelvic

Sakit yang terjadi pada bahagian ini lazimnya merujuk kepada banyak perkara. Ia boleh jadi symptom kanser prostat atau kanser testis. Sebarang rasa sakit yang berlaku lebih daripada beberapa hari dan tidak hilang walaupun anda mengambil pelbagai ubat, itu memerlukan anda mengambil tindakan lanjut.


Rasa Pedih, Luka Atau Ketumbuhan di dalam Zakar

Perlu anda ketahui, ini adalah symptom kanser zakar. Kanser ini walaupun jarang terjadi tetapi ia tetap mempunyai kebarangkalian untuk menyerang anda. Jika anda merasakan sebarang kelainan pada zakar anda, jumpalah doktor.

Rasa Sebu Pada Perut Yang Berterusan dan Kelainan Dalam Sistem Usus

Jika anda kerap mengalami sembelit, cirit birit, gas atau sebarang kelainan pada kebiasaan anda membuang air, ada baiknya ada bertemu dengan doktor. Sebarang perubahan dalam sistem usus boleh jadi tanda kepada kanser usus.


Perubahan Pada Buah Dada

Tahukah anda yang lelaki juga boleh mengalami kanser payudara? Perhatikan selalu jika wujud kelaian pada buah dada anda misalnya keluar cairan yang luar biasa. Kadangkala ia juga ditandai dengan kulit yang berkedut dan bersisik di bahagian tersebut.

Berat Badan Yang Menurun Secara Mendadak

Penurunan berat badan sebanyak 10 paun tanpa anda bersusah payah berdiet, memang menyeronokkan. Tetapi ia jauh dari norma biasa. Walaupun berat boleh turun setiap bulan tetapi jumlah yang mendadak untuk tempoh yang singkat adalah agak ganjil. Mungkin ada sesuatu yang berlaku di dalam sistem tubuh anda.

Batuk dan Sukar Untuk Bernafas

Jika batuk berpanjangan dan masalah sukar bernafas itu tidak dapat diakitkan dengan masalah kesihatan yang lain, besar kemungkinan ia ada kena mengena dengan kanser paru-paru. Silalah dapatkan nasihat dan pandangan dari doktor dengan kadar yang segera.

Mengalami Keletihan Yang Melampau

Rasa letih yang melampau adalah symptom kanser yang paling kerap dirasai. Ia akan menjadi lebih kerap terutama jika kanser itu sudah berada pada tahap yang serius. Sebarang masalah keletihan yang menghalang anda daripada melakukan aktiviti harian, perlulah diberi perhatian segera. 


Jika anda mengalami tanda-tanda seperti yang dinyatakan di atas atau sebarang bentuk kelainan kepada kesihatan anda, saya sarankan anda berjumpa dengan pegawai perubatan untuk mendapatkan khidmat nasihat tentang masalah anda.

Amalkan gaya hidup sihat. Kanser boleh dicegah.

Moga Bermanfaat

Hafid Sulaiman



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...