Friday, 17 October 2014

Apa Yang Disukai Belum Tentu Membawa Kebahagiaan



Kehidupan anda terus berjalan dan hari-hari dilalui dengan penuh kegembiraan. Setiap hari anda melakukan apa yang anda suka kerana menganggapnya itulah yang membawa kebahagiaan. Itu memang fitrah manusia. Namun ingatkah anda dengan Kalam Tuhan yang mengingatkan manusia bahawa boleh jadi apa yang disukai itu belum tentu membawa kebahagiaan kepada anda. Dan boleh jadi juga, apa yang dibenci itu sebenarnya kebahagiaan untuk anda.

Kisah Monyet-monyet liar.


Di sebuah perkampungan terpencil yang penduduknya mengusahakan pertanian, sering kali terjadi tanaman yang ditanam dirosakkan oleh monyet-monyet liar. Bukan senang untuk menguruskan dan membanteras kegiatan mereka. Ketangkasan dan kepintaran monyet-monyet liar ini menjadi masalah utama penduduk.

Maka mereka terpaksa menggunakan  teknik yang unik dan berkesan.

Apa yang mereka lakukan adalah dengan membuat sebuah kotak kayu lalu dipaku di lantai. Di bahagian atas kotak tersebut dibuatkan lubang kecil sebesar ukuran tangan monyet. Lubang itu hanya boleh dimasuki ketika jari tangan dikuncupkan. Di dalam kotak itu diletakkan makanan dan kotak itu dibiarkan.

Monyet-monyet liar itu pun datang dan menghulurkan tangan ke dalam kotak melalui lubang sempit itu untuk mendapatkan makanan.

Makanan digenggam dan cuba ditarik keluar. Apa yang berlaku, tangan mereka tersekat kerana tangan yang penuh dengan makanan tidak mungkin dapat melepasi lubang itu.

Pada saat inilah, ketika sedang terkial-kial, penduduk kampung datang menyerbu dengan kayu lalu memukul dengan kuat monyet-monyet tersebut. Jeritan dan raungan ialah bahasa kesakitan tidak dapat digambarkan.

Yang hairannya, ketika mana keadaan gawat dan monyet itu sedang menanggung  kesakitan, monyet itu masih lagi menggenggam makanan dengan kuat dan tidak mahu melepaskannya. Tangan terus berada di dalam kotak dan ia dipukul sehingga mati.

Keghairahan kepada makanan itu menyebabkan monyet itu tidak boleh melepaskan makanan itu walaupun sebentar untuk lari menyelamatkan diri.

Apakah Manusia Ingin Jadi Lebih Teruk Daripada Binatang.


Allah pernah menempelak manusia bahawa manusia ini boleh jadi lebih teruk daripada binatang ternakan.

Manusia yang dikurniakan akal untuk berfikir dengan waras kadang-kadang membuat keputusan untuk terus kekal dengan cara hidup yang dilalui walau pun manusia telah mengetahui bencana di hujung jalan.

Begitu banyak pengalaman hidup ini yang memberikan isyarat yang jelas bahawa sesuatu perkara yang disukai oleh ramai orang dan juga disukai oleh anda tetapi sebenarnya ia membawa kepada kebinasaan.

Tidak mahukah manusia ini mengambil iktibar…

*** Anda tahu gula itu boleh membinasakan tetapi adakah sedap teh o tanpa gula???

Kamu diwajibkan berperang (untuk menentang pencerobohan) sedang peperangan itu ialah perkara yang kamu benci; dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya. (2:216)


Hafid Sulaiman.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...