Sebut sahaja mengenai gout,
pasti terbayang bagaimana seorang lelaki yang telah meningkat umurnya, lebih
berat badan dan berjalan secara tidak normal disebabkan sendi kaki yang sakit. Lelaki
lebih mudah mendapat penyakit gout berbanding wanita. Entri ini bertujuan
memberikan informasi kepada kaum lelaki tentang penyakit gout, tanda serangan dan
komplikasi daripada penyakit gout.
Apa itu penyakit Gout?
Penyakit gout adalah salah
satu penyakit yang paling lama dihidapi manusia sejak zaman dahulu kala lagi. Gout
mula dikenal pasti lebih 2,000 tahun dulu dan dikatakan antara penyakit tertua.
Dulunya ia dipanggil penyakit orang kaya lantaran ia dikaitkan dengan
pengambilan makanan dan minuman yang terlalu banyak khasiat.
Penyakit gout sering dihidapi
oleh kaum lelaki dalam lingkungan usia antara 30 hingga 60 tahun. Penyakit Gout
adalah sejenis penyakit metabolik disebabkan asid urik yang berlebihan di dalam badan. Ia
adalah sebahagian daripada penyakit sendi (arthritis) yang menyebabkan
keradangan.
Asid urik adalah bahan kumuhan berasal
dari sejenis protein yang dipanggil purin. Tubuh badan membuang bahan kumuh ini
melalui urin (air kencing).
Tetapi bagi penghidap
penyakit gout, asid uric yang berlebihan tidak dibuang. Pemendapan asid urik
ini lama kelamaan akan menghasilkan hablur garam. Ia terkumpul pada sendi dan
tisu lembut di sekeliling sendi, terutama pada kaki dan inilah yang menyebabkan
kesakitan. Kesakitan ini boleh merebak ke bahagian tangan.
Pada masa dahulu gout boleh
menyebabkan kemudaratan dan kecacatan, kini dengan kemajuan dalam bidang
perubatan, gout boleh dikawal.
Tanda-tanda Serangan Penyakit Gout
Terdapat beberapa tanda serangan
penyakit gout. Antaranya
- Kebiasaannya penyakit gout menyerang ibu jari kaki. Ibu jari kaki menjadi merah, panas, bengkak dan tersangat sakit. Ia juga boleh menyebabkan demam.
- Serangan selalunya berlaku secara tiba-tiba, kerap kali semalaman. Sendi yang diserang menjadi bisa sehinggakan geseran dengan selimut pun begitu menyeksakan.
- Sakit mungkin berlarutan berhari-hari, atau sekurang-kurangnya 1-2 minggu untuk reda jika tidak dirawat.
- Sakit mungkin menyerang kembali selepas berminggu atau bulan.
- Gout boleh menyerang sendi-sendi lain seperti buku lali, lutut, pergelangan tangan dan jari.
- Serangan gout juga boleh menyebabkan seseorang itu tidak mampu berjalan.
Komplikasi Penyakit Gout
- Jika tidak dirawat, gout boleh menyebabkan kerosakan kekal dengan masalah buah pinggang dan pemendapan asid urik dalam tisu.
- Asid urik boleh berkumpul di bawah kulit membentuk benjolan di panggil ’tophi’.
- Dalam saluran urinari (air kencing), ia boleh berkumpul membentuk ’batu karang’.
- Penghidap gout juga sering menghidapi penyakit atau masalah kesihatan lain seperti obesiti, darah tinggi, paras lemak dan kolesterol yang tinggi, diabetes dan arteriokklerosis (penyempitan salur darah).
Tindakan
Jika anda mempunyai
tanda-tanda penyakit gout, segeralah berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan rawatan
melalui pengambilan ubat. Pemakanan juga harus dijaga dan pengambilan
supplement kesihatan juga digalakkan.
Disebabkan penyakit gout ini
banyak terjadi kepada golongan lelaki, adalah lebih baik anda melakukan langkah
pencegahan yang terbaik iaitu dengan mengamalkan pemakanan yang seimbang dan
berkhasiat.
Perbanyakkan pembacaan anda
tentang cara hidup sihat melalui pemakanan. Pasti hidup anda lebih sihat dan
ceria. Jom jadi lelaki sihat.
Moga bermanfaat. Sekian, terima kasih.
Jika info ini sangat bermakna
bagi anda, kongsikan tulisan ini dengan orang yang anda sayang.
Hafid Sulaiman
FB Page: Kesihatan AdalahAnugerah
No comments:
Post a Comment