Friday, 16 January 2015

Kisah Lelaki Kaya Yang Ingin Membeli Kehidupan Orang Lain

 
Sedarkah kita, di saat kita hanya mampu makan roti canai atau nasi lemak beserta teh tarik sebagai sarapan pagi, terdapat ‘mereka’ yang tidak mampu menikmatinya walaupun diberi secara percuma. Walaupun pendapatan kita hanya cukup makan jika nak dibandingkan dengan ‘mereka’ itu, namun kekayaan mereka tidak mampu membeli apa yang dinikmati oleh sebahagian orang.


Ini adalah sebuah kisah yang saya nukilkan daripada tulisan Syed Alwi Alatas di dalam bukunya – Mudahkan Jangan Susahkan. Kisah ini memberikan gambaran bahawa kekayaan dan kemewahan duniawi tidak dapat membawa kebahagiaan di dalam seluruh aspek kehidupan seseorang.

Kisah ini juga hampir sama dengan apa yang pernah dilalui oleh Buya HAMKA bersama seorang ahli perniagaan yang kaya di Indonesia.

Banyakkanlah bersyukur dan manfaatkan semaksimum mungkin kebahagiaan yang ada pada diri kita.

Siapa Yang Berkata-kata Itu?


Ia merupakan sebuah kisah mengenai seorang ahli perniagaan di Timur Tengah.

Suatu hari, ahli perniagaan itu pulang dari pejabat menaiki kereta Mercedes. Dalam perjalanan keretanya perlahan berhampiran sekumpulan pekerja kilangnya yang sedang berjalan kaki. Telinganya menangkap kata-kata seorang pekerja yang masih muda: “Inilah orang yang memiliki kehidupan yang sebenar!!! Inilah baru dinamakan kehidupan!!!”.

Sejurus mendengar kata-kata tersebut, dia mengarahkan pemandunya menghentikan kereta. Kemudian dia keluar daripada kereta dan menunggu pekerja tadi. Mereka melihatnya lantas mereka beredar dari situ dengan segera, tetapi dia menahan mereka.

Demi Allah, kamu tidak perlu takut kepada saya..” ujar ahli perniagaan tersebut.

Maafkan kami tuan..” kata para pemuda itu masih berasa takut.

Kamu tidak perlu meminta maaf, wahai anakku..” ahli perniagaan itu meyakinkan para pemuda tadi. “Siapa yang mengucapkan kata-kata yang saya dengar tadi?” tanya ahli perniagaan tadi.

Demi Allah, tidak ada yang mengatakan sesuatu tuan.” Jawab mereka.

Anakku, kamu tidak perlu bimbang” ahli perniagaan itu menenangkan keadaan. “Beritahu sahaja siapa yang berkata-kata tadi.

Akhirnya salah seorang pemuda menjawab: “Sayalah yang telah mengatakannya, tuan. Demi Allah, tolong maafkan saya kerananya. Harap maafkan saya.

Kemudian ahli perniagaan itu bertanya, “Anakku, apakah pekerjaanmu?

Saya seorang pekerja pembinaan tuan” jawab pemuda itu.

Baiklah, kamu sudah berkahwin?

Ya, Alhamdulillah

Apakah kamu mempunyai anak?

Saya mempunyai 4 orang anak. 2 lelaki dan 2 perempuan.

Masya Allah,” ujar ahli perniagaan itu. “apakah semuanya dalam keadaan baik?”

Pemuda itu menjawab: “Alhamdulillah..

Bagaimana kesihatanmu?

Sangat baik,” jawab pemuda itu.

Lalu ahli perniagaan itu bertanya lagi. “Apakah kamu pernah memakan kacang ful (makanan ruji bagi Negara itu)??”

Apakah kita makan makanan selain itu?” Jawab pemuda tadi.

Apakah kamu pernah memakan ta’miya (sejenis makanan lain)?” Tanya ahli perniagaan itu lagi.

Setiap hari tuan..

Baguslah kalau begitu, wahai anak.” Kata ahli perniagaan itu.

Saya pernah melalui pemindahan hati dan saya tidak mempunyai anak. Mahukah kamu memberikan semua kelebihan yang kamu miliki itu dan sebagai gantinya saya akan memberikan apa yang saya miliki? Sanggupkah kamu menanggung semua beban ini? Mahukah kamu memberikan seorang daripada anak kamu untuk ditukar dengan apa yang saya miliki? Mahukah kamu memberikan kepada saya hati kamu dan kesihatan kamu?"

Pemuda itu terdiam.

Saya berharap saya boleh makan kacang pul” lanjut ahli perniagaan itu.

Tetapi saya tidak boleh. Kesihatan saya tidak mengizinkan. Kadang-kadang terserempak dengan orang yang menjual ta’miya dan saya berharap saya dapat memakannya. Tetapi ia juga mustahil. Apakah kamu bersedia, wahai anakku, menerima semua beban ini dan memberikan kepada saya semua kelebihan yang ada pada kamu??

Pemuda itu menjawab, “Tidak, tuan. Berdasarkan cerita tuan, maafkan saya. Semoga Allah memberikan tuan kesihatan kembali.

Maka pemuda itu pun meminya izin untuk berlalu, berbaur perasaannya antara menyesal dengan kata-katanya dan juga rasa syukur atas nikmat yang dimilikinya.

TAMAT NUKILAN.

“Kalau anda mempunyai tubuh yang sihat, fikiran yang normal, keluarga dan rakan taulan yang penuh dengan kasih sayang, serta umur yang diisi dengan kebaikan, maka ketahuilah anda orang yang kaya raya”

Lihatlah bagaimana Allah membahagikan kebahagiaan kepada sesiapa yang dikehendakinya..
  
Semoga bermanfaat.

Hafid Sulaiman




No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...